KUALA LUMPUR – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membantu usahawan menyesuaikan diri serta meneruskan perniagaan dengan norma baharu akibat penularan Covid-19.
Ia dilakukan melalui dua program bimbingan iaitu Bumiputera Business Coaching (BBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).
Program itu berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM9.8 juta.
Selain itu, program bimbingan di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu juga berjaya mencipta sebanyak 256 peluang pekerjaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berharap lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dan diberikan pelbagai peruntukan untuk diberi bimbingan terutama yang dilatih INSKEN.
Tambah beliau, graduan yang lulus di bawah program INSKEN akan diberikan kelulusan permohonan pinjaman dan mendapat pengesahan daripada MEDAC dan diluluskan secara serta merta.
“INSKEN sentiasa konsisten memberi bantuan berbentuk latihan dan bimbingan supaya usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik dan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Kejayaan peningkatan hasil jualan ini membuktikan norma baharu bukanlah penghalang untuk terus maju ke depan,” katanya pada Majlis Graduan Program Bimbingan Insken 2020/ 2021 di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.
Menurut Noh, usahawan yang berjaya meningkatkan hasil jualan ini adalah bukti mereka mampu meneruskan perniagaan walaupun perlu mengamalkan norma baharu dan bukan penghalang untuk terus maju ke hadapan.
Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, seramai 295 peserta Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) yang terdiri daripada usahawan industri Postnatal Care, Cafe & Restaurant, Bakeri, Jualan Pasaraya, Jahitan dan Eco-tourism berjaya menamatkan bimbingan selama empat bulan.
“Seramai 170 peserta daripada Program E-Board dibimbing membuat pemasaran digital berjaya mencatat peningkatan hasil jualan melebihi RM560,000,” katanya.
Usahawan program itu membuat transformasi ke arah digital dengan menggunakan platform media sosial dan platform jualan dalam talian.
Seperti contoh, seorang usahawan makanan dan minuman kesihatan, Azanil Putra Rapaai telah mencatat peningkatan hasil jualan tertinggi iaitu sebanyak 233.03 peratus selepas memasarkan perniagaannya di Shopee.
Manakala bagi Program IBBC, katanya, peningkatan jualan tertinggi dicatat oleh Nor Paizah Rohaizard yang menjalankan perniagaan post natal care.
Kata pemilik perniagaan Sentuhan Quinn itu, peningkatan jualan sebanyak 251 peratus setelah membuat penjenamaan semula syarikat dan memperbaharui pakej serta produk yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan.- MalaysiaGazette