KUALA LUMPUR – Badminton Asia hari ini mengesahkan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvention Setia City di Selangor dari 15 hingga 20 Februari ini.
Badminton Asia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan, edisi keempat BATC yang merupakan kejohanan kelayakan untuk Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok akan dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kerajaan negeri Selangor.
“BAM akan menggunakan protokol kesihatan yang ketat mengikut standard Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia. Pemain dan pegawai dari seluruh Asia akan menyertainya dan bertanding untuk gelaran pasukan terbaik di Asia,” menurut kenyataan Badminton Asia.
Badminton Asia yakin dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu, daripada pengalaman yang didapati daripada dua siri kejohanan pada 2021 dalam keadaan pandemik Covid-19, iaitu tiga kejohanan di Thailand pada awal tahun dan Festival Badminton Indonesia pada hujung tahun, kedua-duanya dilangsungkan dalam sistem gelembung.
Persatuan Badminton Thailand (BAT) menganjurkan Terbuka Thailand Yonex, Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Akhir BWF pada Januari, manakala Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menjadi tuan rumah kepada Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Jelajah Akhir BWF, pada hujung tahun lepas. – MalaysiaGazette