BUKIT GANTANG – Seramai 25,000 pekerja asing khususnya dari Thailand diperlukan untuk mengisi kekosongan pekerja di kapal laut dalam bagi usaha menstabilkan bekalan ikan terutama apabila menjelang musim perayaan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, terdapat 1,000 buah kapal laut dalam di Semenanjung Malaysia dan setiap sebuah kapal memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang pekerja.
“Hasil tinjauan saya di Terengganu baru-baru ini, banyak pengusaha kapal laut dalam mengeluh kerana tidak dapat beroperasi berikutan ketiadaan pekerja dari Thailand sekali gus memberi kesan kepada kenaikan harga ikan dan bekalan ikan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Anak Bukit Gantang dan Dermasiswa P059 Pelajar Matrikulasi, Kolej dan Institusi Pengajian Tinggi di sini hari ini.
Syed Abu Hussin berkata, LKIM telah membuat permohonan rasmi kepada Jabatan Imigresen untuk mendapatkan kebenaran kemasukan pekerja asing Thailand untuk bekerja di kapal laut dalam namun belum mendapat sebarang kata putus diterima.
“Saya berharap Jabatan Imigresen membuka ruang yang lebih mudah dan mengikut peraturan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan ketika ini memberikan syarat pengambilan pekerja asing dikenakan bayaran RM10,000 seorang dan ia membebankan pemilik kapal laut dalam.
Ditanya mengenai bekalan ikan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, Syed Abu Hussin berkata, permintaan terhadap bekalan ikan segar dijangka berkurangan namun ia akan ditampung dengan bekalan ikan sejuk beku (Q-fish).
Bagaimanapun katanya, pendaratan ikan masih berlaku walaupun bekalan berkurangan dan harga ikan dijangka meningkat pada musim perayaan nanti.
Beliau berkata, pihaknya juga mengimport 20 peratus ikan dari Pakistan, Indonesia, India dan Bangladesh bagi menampung keperluan itu.
Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, Tabung Anak Bukit Gantang diwujudkan sejak 2019 dengan tujuan simpanan untuk masa depan anak-anak di samping menggalakkan ibu bapa menabung.
“Setiap seorang anak yang lahir sejak 2019 hingga tahun ini diberikan RM100 dan ia ditambah RM100 pada setiap tahun dengan syarat simpanan itu tidak dikeluarkan,” katanya. – Bernama