KUALA LUMPUR – Sekretariat NGO Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan mewujudkan badan sukarelawan khusus yang bertindak membantu menyelamatkan penduduk serta aset kerajaan sekiranya berlaku bencana alam.
Sukarelawan di kalangan orang awam itu mesti diberi latihan secukupnya mengenai pengetahuan ilmu menyelamat dan pihak pertama dikerah untuk membantu di kawasan berlaku banjir, tanah runtuh serta kemalangan.
Menurut Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim, badan sukarelawan bencana alam itu perlu ditubuhkan di setiap Parlimen dan daerah di seluruh negara.
“Kita tidak tahu bila bencana alam akan berlaku dan kalau berlaku, kerajaan negeri mengambil masa untuk bertindak.
“Justeru, dengan adanya badan sukarelawan dalam kalangan orang awam yang terlatih ini, mereka akan bergerak pantas ke tempat kejadian bagi menghulurkan bantuan, sebelum bantuan dari kerajaan tiba,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata beliau, syarikat berkaitan kerajaan atau milik kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan utama mereka dengan menyumbangkan khidmat tenaga pelatih bagi memberi latihan secukupnya kepada sukarelawan ini.
Ini kata Muhammad Faiz, bagi melahirkan sukarelawan yang berpengetahuan dan berilmu serta akan sentiasa di hadapan bukan sahaja dalam situasi banjir, tanah runtuh, malah kemalangan juga.
“Sekretariat NGO Pemuda UMNO sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sekalipun dalam memastikan sukarelawan berilmu ini dapat direalisasikan.
“Sebagai contoh, Abang Viva antara tauladan yang baik daripada seorang rakyat marhean yang tampil membantu. Dia datang dari jauh berbekalkan wang RM50 semata-mata hendak membantu mangsa banjir.
“Ternyata khidmat sukarelawan Abang Viva ini mendapat pujian seluruh rakyat Malaysia dan kita perlukan lebih ramai lagi Abang Viva ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun, tidak menafikan ada penjawat awam yang mahir dan turut tampil membantu, tetapi sekiranya berlaku bencana besar, bilangan mereka tidak mencukupi untuk mengatasi masalah itu.
Katanya, banjir besar berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini membuka mata semua pihak, betapa sukarelawan daripada orang awam sangat diperlukan.
“Tetapi, ramai di kalangan mereka tidak terlatih. Sebab itu, kita cadangkan kerajaan beri latihan dan wujudkan sukarelawan berilmu ini di setiap negeri, Parlimen dan daerah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette