Home Politik PH muktamad pembahagian kerusi, PKR guna logo sendiri

PH muktamad pembahagian kerusi, PKR guna logo sendiri

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk memuktamadkan keputusan pengagihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kata sepakat antara ketiga-tiga parti komponen PH itu telah dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan oleh Majlis Presiden PH hari ini.

“Majlis Presiden PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dari PKR.

“Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng dari DAP dan Aminolhuda Hassan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah dari Amanah,” katanya.

Mesyuarat tersebut juga mencapai persetujuan sebulat suara mengenai penggunaan logo pada pilihan raya tersebut.

Katanya, logo PH akan digunakan oleh parti komponen DAP dan Amanah sementara PKR pula akan menggunakan logo sendiri.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut mengulangi pendirian untuk meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Katanya, kerjasama itu akan akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor nanti.-MalaysiaGazette