KUALA LUMPUR – Keluhan warga emas Rohana Mahfuz, 76, yang kehilangan seluruh rumah pusakannya dalam bencana banjir Disember lalu mendapat perhatian pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew.
Ebit akan membina semula rumah baharu untuk Rohana ditapak asal di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.
Pertolongan yang dihulur Ebit itu tidak sampai 24 jam selepas media melaporkan rintihan Rohana (gambar) apabila tidak ada mana-mana pihak membantunya untuk membina semula tempat perlindungannya yang telah musnah.
Ebit berkata, dia akan membinakan semula rumah untuk warga emas itu setelah meneliti pelan rumah baharu selain turut menghubungi kontraktor yang akan menyiapkan projek tersebut.
“Syukur dapat hadiahkan nenek Rohana rumah baharu setelah rumahnya hanyut banjir di Hulu Langat. Semuanya habis cuma tinggal tangga.
“Kami akan bina semula rumah. Menangis sahaja dari mula jumpa tadi. Sudah sebulan nenek tak tahu macam mana nak bina rumah. Dari mula hanya meluah rasa dan ujian hidupnya.
“Nenek tiada suami dan anak-anak. Syukur adik beradik dan jiran tetangga ramai membantu serta masyarakat ramai membantu.
“Doakan rumah nenek dapat kami siapkan mengikut pelan asal. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah,” kata Ebit dalam hantaran yang dikongsi di media sosialnya.
Pada kesempatan itu, Rohana turut meminta agar Ebit mendoakan dirinya ditempatkan di dalam syurga.
“Dari mula menangis jer. Katanya ini hari paling gembira dapat jumpa ustaz. Saya jarang menangis tapi hari ni nak menangis. Selalu tengok dekat televisyen. Boleh tak ustaz jangan balik lagi. Nenek nak dengar nasihat.
“Nenek doakan saya ye. Mak ayah saya sudah meninggal dunia. Saya perlu doa nenek. Terus nenek doakan saya. Syukur rasa,” kata Ebit.
Nasib Rohana mendapat perhatian selepas rumah pusaka yang dibina pada tahun 1969 peninggalan ibu bapanya hanya tinggal tangga selepas dilanda banjir besar.
Bagaimanapun semalam media melaporkan tidak ada mana-mana pihak tampil untuk membantu Rohana membila semula rumahnya.-MalaysiaGazette
Mata masuk habuk la pulakkk..hishhh