Home Nasional 4,000 peminjam ‘rumah sakit’ LPPSA bakal nikmati 6 bulan moratorium

4,000 peminjam ‘rumah sakit’ LPPSA bakal nikmati 6 bulan moratorium

Reezal Merican pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Pulau Sebang, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kira-kira 4,000 peminjam akaun ‘rumah sakit’ di bawah pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bakal menikmati moratorium enam bulan seperti dilaksanakan institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican beliau telah menyuarakan cadangan itu kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz agar penangguhan sementara pembayaran balik pinjaman sama diberikan kepada kumpulan itu.

Menurut beliau, ini kerana kebiasaannya peminjam perumahan daripada LPPSA tidak menikmati penangguhan bayaran atau moratorium enam bulan termasuk bagi projek terbengkalai atau ‘rumah sakit’ sebagaimana dinikmati peminjam bank-bank lain.

“(Peminjam) LPPSA biasanya tidak dapat moratorium (enam bulan) dia (peminjam) kena bayar (pinjaman ‘rumah sakit’) maka saya dah listdown (senaraikan).

“Ada lebih kurang 4,000 pembeli-pembeli di bawah PPAM (Perumahan Penjawat Awam Malaysia) dan (PR1MA) Projek Rumah 1Malaysia yang berada dalam LPPSA yang dah mula bayar rumah tapi tak boleh duduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Pulau Sebang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memahami dilema yang dihadapi 4,000 pembeli berkenaan dan akan berusaha untuk meredakan kebimbangan termasuk telah meminta Menteri Kewangan melihat perkara itu.

“…mereka yang berada dalam LPPSA yang sudah mula bayar rumah tapi tak boleh duduk, yang ini pun saya dah hantar kepada Zafrul (Menteri Kewangan).

“Saya dah minta supaya mereka ini diberi moratorium (enam bulan) kerana ini bukan pilihan mereka, mereka terkesan kerana berlaku projek lewat,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan dan LPPSA untuk mempertimbangkan penangguhan bayaran balik pembiayaan perumahan, sehingga rumah peminjam siap dibina oleh pemaju atau selepas mereka menerima kunci rumah.

Syarat pembiayaan LPPSA menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan daripada tarikh kelulusan pinjaman.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas bagaimanapun telah mengakibatkan banyak projek perumahan tergendala atau dikategorikan sebagai ‘rumah sakit’ dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Keadaan itu turut menjejaskan nasib penjawat awam di bawah pembiayaan LPPSA yang perlu menjelaskan bayaran ansuran rumah selepas tempoh 24 bulan walaupun rumah dibeli gagal disiapkan.- MalaysiaGazette