KUALA LUMPUR – Bekas pemain import UiTM FC, Victor Nirennold yang beraksi dalam saingan Liga Super tahun lepas disahkan akan beraksi dalam saingan divisyen utama Liga Scotland, Scottish Premiership musim 2021-2022.
Setelah tiga tahun mengutip pengalaman di Asia Tenggara bersama UiTM FC dan kelab dari Liga Vietnam, SHB Da Nang, Nirennold kembali semula ke Eropah serta bertemu dengan bekas jurulatihnya, Graham Alexander yang kini merupakan pengurus Motherwell.
“Victor memberi kekuatan tambahan kepada kami di bahagian pertahanan kanan. Dia telah menepati ciri-ciri corak permainan yang kami mahukan dan perwatakannya sesuai dengan pasukan kami.
“Kami gembira kerana dia berada di sini bersama kami dan tidak sabar bekerja dengannya lagi,” kata Graham Alexander di laman web kelab.
Memiliki ketinggian 194 sentimeter, sebelum menyertai UiTM FC, Victor pernah beraksi di Amerika Syarikat bersama FC Miami City dan kemudian ke kelab EFL, Fleetwood Town.
Selepas itu, dia berhijrah ke Slovakia sertai FK Senica.
Motherwell kini berada pada kedudukan keempat dalam saingan Scottish Premership setelah mengutip 31 mata dalam 21 perlawanan yang diharungi.
Victor dijangka membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang Hearts pada 29 Januari ini. – MalaysiaGazette