BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kegaiatan menyeleweng minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah di sini, semalam.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, hasil risikan selama sebulan berkaitan isu penyeleweng minyak itu membawa kepada tangkapan suspek.
“Kedua-dua suspek itu ditahan jam 6.30 pagi ketika sedang mengisi 2,800 liter minyak diesel ke dalam sebuah lori tangki dari stesen minyak tersebut.
“Hasil pemeriksaan melalui resit belian pula mendapati lori berkenaan telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi berjumlah RM6,582 dalam tempoh 40 minit.
“Susulan itu, kita telah menahan dua suspek berkenaan untuk siasatan lanjut selain menyita 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette