Home Utama SOP baharu ibadah umrah sudah siap – Nancy

SOP baharu ibadah umrah sudah siap – Nancy

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyiapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditambahbaik bagi pembukaan semula ibadah umrah pada 8 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun berkata, SOP itu perlu mendapat persetujuan pelbagai pihak berkaitan sebelum diperinci dan dimuktamadkan.

Menurut beliau, input daripada Kementerian Kesihatan juga diperlukan selain isu tempoh kurantin dan insuran jemaah yang diambil kira.

“Pada masa ini kita telah siapkan SOP tapi perlu input juga dari KKM.

“Tempoh kuarantin pun ada kita masukkan namun perlu dipersetujui kementerian lain seperti Kementerian Kewangan dan Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang perlu diperhalusi.

“Kami boleh sediakan SOP namun perlu dipersetujui kementerian lain. Bila sudah ada SOP ia perlu diteliti juga.

“Kalau jemaah pulang dari umrah tapi tempat kuarantin tiada jadi bagaimana? Ini kerana kuarantin bukan di bawah MOTAC, jadi perlukan kerjasama semua pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Program Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau diminta mengulas keputusan Kabinet semalam yang membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Bagaimanapun garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, SOP baharu akan turut meliputi isu insurans perlindungan jemaah.

“Sama juga dengan insurans kerana yang ada hanya di Arab Saudi dan bila balik di Malaysia tidak boleh digunapakai.

“Perkara teknikal begini yang kita perlu bincangkan lagi dan perlu ambil kira semua ini,” katanya.

Berkaitan tuntutan kerugian jemaah sebelum ini gara-gara penangguhan ibadah umrah sementara, Nancy memberitahu, pihaknya sedang berunding dengan Tabung Haji bagi menyelesaikan isu itu. – MalaysiaGazette