KUALA LUMPUR – Kemelut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei selesai selepas semua pihak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pertemuan semua pihak dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Perdana Putra.
“Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” kata Ismail Sabri menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya hari ini.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain timbalannya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Zii Jia yang juga perseorangan lelaki negara dan Jin Wei yang merupakan perseorangan wanita negara.
Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021 susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang bergerak secara profesional.
Bagaimanapun, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia menghantar surat rayuan kepada BAM pada Isnin lalu susulan tindakan yang dikenakan itu dan sehari selepas itu BAM memutuskan untuk memberi restu untuk dia bergerak secara profesional.
Jin Wei juga sudah menghantar surat rayuan kelmarin dan BAM dilaporkan sedang meneliti perkara berkenaan. – MalaysiaGazette