KUALA LUMPUR – Lebih daripada sepertiga bakat muda Malaysia berhenti kerja pertama dalam masa kurang dari satu tahun, sekali gus menunjukkan peluang mengembangkan potensi lebih cepat.
Faktor ini juga mendorong keinginan untuk mendapat gaji lebih banyak, dijadikan alasan untuk mencari kerja baharu.
Ini kerana sebanyak 58% graduan baru percaya bahawa pekerjaan pertama adalah sangat penting untuk membuka jalan bagi karier masa depan mereka.
Pertumbuhan profesional (74%) dan wang (43%) menjadi sebab utama bakat muda Malaysia meninggalkan peranan mereka, lebih daripada satu pertiga (38%) menyedari mereka perlu mengubah arah kerjaya mereka lebih awal.
Ia adalah hasil penyelidikan yang baru dijalankan oleh Monster.com bagi mendedahkan pandangan, cabaran dan harapan di sekitar proses pengambilan untuk bakat tempatan muda.
Kaji selidik itu melibatkan lebih 700 responden yang terdiri dalam kalangan graduan baharu dan majikan.
Kajian itu menemui banyak ketidasepadanan antara bakat dan harapan majikan berhubung pengalaman pencari kerja oleh graduan baharu serta pandangan penting tentang apa yang dicari oleh majikan tempatan pada latar belakang pekerja (CV) dan kesilapan besar oleh bakat muda semasa wawancara kerja.
Ketika menghadapi cabaran dalam pekerjaan, majoriti graduan baharu mengatakan kurangnya pengetahuan dan pengalaman industri mempengaruhi keyakinan terhadap peranan mereka.
Walaupun ini mungkin dijangka untuk profesional muda yang tidak berpengalaman, 24% yang bimbang berkata, mereka juga berjuang dengan kurangnya bimbingan, manakala 22% berkata mereka menghadapi cabaran dengan majikan mereka.
Sebanyak 20% berkata, mereka merasakan sepatutnya mendapat pampasan yang lebih baik, sementara 20% menambah mereka mungkin “tidak bersedia sepenuhnya untuk kehidupan kerja”.
Walaupun keputusan ini menunjukkan kurangnya sokongan kepimpinan untuk membantu peralihan bakat muda ke dalam pekerjaan pertama mereka, 80% daripada majikan berkata, mereka percaya telah memberikan sokongan yang mencukupi untuk membantu para graduan baharu berjaya.
“Ini menunjukkan ketidaksepadanan yang membimbangkan antara cabaran terbesar yang dikatakan bakat muda tentang pekerjaan pertama mereka dan kepercayaan majikan tempatan bahawa mereka menyediakan sokongan yang mencukupi untuk bakat muda berkembang.
“Ini sepatutnya menjadi kebimbangan kepada majikan yang mahu mendapat, menggaji dan mengekalkan bakat-bakat muda dalam jangka panjang,” kata Pengarah Urusan Monster.com APAC dan Timur Tengah, Sanjay Modi.
Di Malaysia, 60% daripada siswazah baharu berkata, mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya satu latihan kerja sebelum menduduki tugas pertama mereka – ini adalah selaras dengan harapan majikan, dengan 91% menyatakan ini penting.
Namun begitu, hanya 42% daripada majikan yang menawarkan program latihan – walaupun satu perempat mengatakan mereka merancang untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Kaji selidik ini juga bertanya kepada pencari kerja dan majikan mengenai kesilapan terbesar yang dibuat semasa wawancara kerja dan pengurus yang menawarkan kerja sebenarnya ambil peduli untuk membaca CV.
Di seluruh rantau ini, 67% daripada majikan mengatakan bahawa mereka menghabiskan kurang dari tiga minit untuk membaca CV yang diberikan – 50% menghabiskan masa 1 hingga 3 minit untuk membaca sepintas lalu, sementara 17% hanya akan melihat CV kurang dari 60 saat.
Apabila mempertimbangkan CV, majikan mengambil berat tentang pengalaman mana-mana pencari kerja yang relevan dengan kerja (68%), diikuti oleh kelayakan dan pendidikan (58%) dan memastikan CV ditulis dengan baik dan mudah dibaca (45%).
Menariknya, mereka tidak peduli dengan ejaan dan tatabahasa yang betul (11%), pautan ke portfolio kerja anda (8%) atau pengalaman sukarelawan yang mungkin anda miliki (5%).
Pencari-pencari kerja Malaysia juga bersetuju bahawa bahagian paling sukar menulis CV ialah kerjaya ringkasan (26%).
Berhubung kesilapan semasa temuduga kerja, 54% rakyat Malaysia berkata, tidak melakukan penyelidikan yang mencukupi adalah penyesalan terbesar mereka, diikuti dengan tidak bertanya semasa temuduga. – MalaysiaGazette