Home Ekonomi Eksport rekod pertumbuhan kukuh RM123.8 bilion pada Disember 2021

Eksport rekod pertumbuhan kukuh RM123.8 bilion pada Disember 2021

KUALA LUMPUR – Prestasi eksport Malaysia pada Disember 2021 kekal berdaya tahan dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion, bulan keempat berturut-turut sejak September 2021, seiring dengan aktiviti ekonomi luaran dan domestik yang menggalakkan.

Eksport pada Disember 2021 sekali lagi mencatat rekod baharu, mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2 peratus, tahun ke tahun.

Selari dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 23.6 peratus kepada RM92.9 bilion berbanding Disember 2020.

Melengkap kepada prestasi kukuh eksport dan import, jumlah dagangan melonjak 26.8 peratus kepada RM216.7 bilion berbanding ke bulan yang sama tahun 2020, memacu jumlah dagangan tertinggi RM2.2 trilion pada 2021 sebagai mana dilaporkan dalam

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport yang kukuh pada Disember 2021 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM102.7 bilion dan menyumbang 83.0 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 30.7 peratus.

Di samping itu, eksport semula dengan nilai RM21.1 bilion, meningkat 22.3 peratus, tahun ke tahun. Import pada Disember 2021 berjumlah RM92.9 bilion, terus mencatatkan pertumbuhan 23.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tahunan yang signifikan dalam eksport dan import, menghasilkan jumlah dagangan tertinggi yang pernah direkodkan, RM216.7 bilion berkembang 26.8 peratus.

Lebihan dagangan, yang bernilai RM31.0 bilion, merupakan yang ke-20 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 berbanding November 2021.

Menurutnya, eksport jumlah dagangan dan lebihan dagangan turut mencatatkan pertumbuhan positif, masing-masing 10.4 peratus, 5.5 peratus dan 63.6 peratus, sebaliknya, import menurun sedikit 0.4 peratus.

Pertumbuhan ini digambarkan melalui 179 daripada 256 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagi import, 175 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Jabatan Perangkaan menambah, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM4.5 bilion), diikuti Amerika Syarikat (+RM3.6 bilion), Singapura (+RM3.0 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.3 bilion), Indonesia (+RM1.7 bilion) , Vietnam (+RM1.6 bilion), Taiwan (+RM1.5 bilion), Hong Kong (+RM1.5 bilion) dan Australia (+RM1.2 bilion).

Sementara itu, import dari China terus mencatatkan peningkatan RM4.0 bilion, sebagai penyumbang utama kepada peningkatan import, diikuti Singapura (+RM2.4 bilion), Taiwan (+RM2.2 bilion), Indonesia (+RM1.9 bilion), Korea (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.3 bilion) dan Amerika Syarikat (+RM1.2 bilion).

Peningkatan eksport didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM13.2 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.5 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.8 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.8 bilion); gas asli cecair (+RM1.5 bilion); keluaran petroleum (+RM1.4 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.4 bilion).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM7.1 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.9 bilion); keluaran petroleum (+RM1.7 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.5 bilion) dan barangan besi
& keluli (+RM1.5 bilion).

Pertumbuhan import bagi penggunaan akhir disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

Import barangan perantaraan (55.1% daripada jumlah import) berjumlah RM51.1 bilion, meningkat RM10.9 bilion atau 27.1 peratus. Barangan modal (11.0% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 21.0 peratus daripada RM8.5 bilion pada
tahun sebelumnya kepada RM10.2 bilion.

Import barangan penggunaan yang berjumlah RM7.9 bilion, meningkat 13.1 peratus berbanding Disember 2020 dan
merangkumi 8.6 peratus daripada jumlah import.

Di samping itu, prestasi keseluruhan bagi suku tahun kedua (ST4) 2021 juga menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding ST4 2020.

Eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 29.0 peratus, 29.6 peratus, 29.2 peratus dan 26.9 peratus. – MalaysiaGazette