KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob kecewa berhubung isu tindakan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida yang membuat tuduhan penyanyi, Anuar Zain dalam siaran langsung dalam Instagram baru-baru ini.
Menerusi sebuah hantaran dalam media sosial Fazley memuat naik gambar usahawan kosmetik itu dengan kapsyen panjang menerangkan kekayaan dan kemewahan seseorang tidak semahal ilmu pengetahuan.
“Kaya dan popular tidak menjamin adab dan tahap intelektual seseorang kan? Sesetengah daripada kita diduga dengan kemiskinan dan kepayahan hidup agar kita kekal berusaha serta kekal dalam iman walaupun serba kekurangan.
“Kasihan insan yang gemar mencari publisiti secara kurang ilmiah dan seperti tiada adab semata-mata untuk mencari rezeki. Elokkah jika dijadikan contoh anak muda yang baru nak belajar menjadi usahawan?” tulisnya.
Fazley juga menyelar Vida apabila meluahkan rasa hilang hormat terhadap pelantun lagu I Am Me itu.
Terdahulu, penyanyi Ziana Zain tampil menempelak Vida yang sewenang-wenang menuduh adiknya, Anuar Zain meminati kaum sejenis.
Bagaimanapun, Vida menafikan dakwaan tersebut.
Pun begitu, terbaharu Vida atau sebenarnya Hasmiza Othman, tampil mengakui kesilapan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Anuar Zain serta keluarga menerusi sebuah video dimuat naik dalam Instagram.
Usahawan berusia 51 tahun itu menyifatkan insiden tersebut sebagai gurauan tanpa sengaja dan kekhilafan daripada dirinya kerana terlepas cakap sehingga mengguris hati ramai pihak. – MalaysiaGazette