Home Nasional Kerjasama PERKESO, MADA pastikan golongan bekerja sendiri dilindungi

Kerjasama PERKESO, MADA pastikan golongan bekerja sendiri dilindungi

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah diadakan di Menara PERKESO hari ini.-Foto PERKESO

KUALA LUMPUR – Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah diadakan di sini hari ini.

Seiring dengan Bajet 2022 yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan melindungi golongan pekerja sendiri dan sektor informal antaranya ialah pengenalan dan pelaksanaan inisiatif Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Padanan Caruman khusus kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) untuk dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

PERKESO kini giat menjalankan pelbagai siri libat urus dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menyebarluaskan inisiatif kerajaan agar lebih ramai golongan OBS dapat memanfaatkan bantuan  dan dilindungi pihaknya.

Salah satunya adalah dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama strategik dijalinkan antara pihaknya dengan MADA bagi memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial dapat diperluas kepada golongan OBS khususnya golongan petani di Kedah.

Sehingga kini difahamkan bilangan petani di Kedah yang berdaftar dengan pihak MADA telah melebihi 57, 000 orang dan mereka dijangkakan akan didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO di bawah Skim Keselamatan SKSPS.

Katanya, Insentif SPS Padanan Caruman menyasarkan lapan kategori OBS yang terdiri daripada Orang Asli atau orang asal, pekerja gig, penjaja, orang kelainan upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita.

“Menerusi pelaksanaan inisiatif ini dan juga inisiatif SPS Khidmat, dianggarkan 810,000 individu akan menerima manfaat liputan perlindungan SKSPS,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, inisiatif SPS Padanan Caruman ini khususnya kepada golongan petani, turut dipanggil sebagai SPS Tani yang merangkumi golongan OBS dari sektor pertanian, perikanan termasuk akuakultur, penternakan dan juga perhutanan.

Beliau berharap agar lebih ramai pekerja dari pelbagai sektor dan industri khususnya yang bekerja sendiri dapat dilindungi dengan perlindungan keselamatan sosial.

Mohammed Azman berkata, Inisiatif SPS Padanan Caruman yang diperkenalkan oleh kerajaan  sebenarnya merupakan suatu tawaran yang cukup menarik kepada golongan OBS.

Melalui inisiatif yang sama, kerajaan akan membiayai 80 peratus (RM186.20) daripada kadar caruman di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS dan OBS hanya perlu membayar bakinya iaitu sebanyak 20 peratus (RM46.60) sahaja daripada kadar caruman.-MalaysiaGazette