KAJANG – Kerajaan Selangor akan mempertingkatkan sistem amaran bagi menghadapi kejadian bencana alam yang sering melanda negeri itu sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan berkenaan beberapa kaedah dalam menangani kejadian tersebut akan dibincangkan dalam retreat yang bakal dijalankan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.
Katanya, kerajaan Selangor melalui unit bencana pada 2019 telah bekerjasama dengan sebuah universiti tempatan dan universiti dari Jepun dalam mengenal pasti bencana yang mungkin berlaku peringkat awal.
“Dua perkara yang akan dibincangkan dalam retreat yang akan datang adalah bagaimana alert sistem atau pun sistem amaran awal yang akan disusun di seluruh negeri Selangor meliputi pelbagai jenis bencana yang kerap kali berlaku.
“Laporan awal telah pun dibentangkan pada tahun lepas dan Insya Allah sebahagian besarnya akan kita bincangkan pada retreat yang akan datang.
“Setakat ini banjir, tanah runtuh dua perkara, ribut juga satu perkara yang lain…jadi, bagaimana alert sistem ini disalurkan kepada umum ketika berdepan dengan situasi-situasi ini kerana tiap tahun selain daripada hujan lebat kita juga akan berdepan dengan fenomena air pasang besar yang melanda di kawasan seperti Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelan tindakan kerajaan Selangor mengatasi kejadian bencana alam.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, semua cadangan yang dikemukakan dalam retreat tersebut serta tindakan akan dimuktamadkan pada pertengahan tahun ini atau pada belanjawan negeri 2023 yang bakal diumum akhir tahun nanti.
Untuk rekod, beberapa kejadian bencana alam berlaku di Selangor dengan insiden terbesar pada 18 Disember tahun lepas apabila berlaku banjir di beberapa kawasan di negeri berkenaan hingga menyebabkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Kejadian bencana alam yang terbaharu dilapor berlaku semalam apabila terjadinya ribut dan angin kencang di Shah Alam hingga menyebabkan beberapa premis mengalami kerosakan. – MalaysiaGazette