Home Nasional Melaka warta tiga pulau jadi Taman Laut Negara setanding Semporna

Melaka warta tiga pulau jadi Taman Laut Negara setanding Semporna

Azhar Yaacob

MELAKA – Tiga buah pulau di Melaka akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara yang setanding dengan hidupan marin dan terumbu karang di Pantai Barat dan Timur negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata, tiga pulau berkenaan adalah Pulau Nangka, Pulau Dodol dan Pulau Undan di bawah kluster Pulau Besar, sekaligus menjadikannya lokasi kedua Taman Laut Negara di Selat Melaka.

Menurutnya, kajian untuk mewartakan ketiga-tiga pulau berkenaan sudah dilakukan dan kini dalam proses membawanya ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dijangka direalisasikan tahun ini.

“Selepas kita buat kajian, ketiga-tiga pulau kita ini memenuhi syarat untuk diwartakan sebagai Taman Laut sebab terdapat 150 spesies terumbu karang dan juga ikan marin yang tidak pernah diterokai sebelum ini.

“Bila diwartakan nanti ianya akan jadi satu tarikan yang mengejutkan kepada industri pelancongan di Melaka sama seperti Taman Laut di pulau-pulau peranginan ternama seperti Semporna di Sabah, Rawa, Mersing dan juga Pulau Payar di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program perasmian Program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di sini hari ini yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Mengulas lanjut Azhar berkata, usaha mewartakan ketiga-tiga pulau berkenaan yang dikategorikan sebagai Pulau Premium di dalam kluster Pulau Besar juga dilihat menjadi ‘gateway’ pelancongan baharu Melaka.

“Apabila ianya diwartakan, banyak aktiviti rekreasi dapat dilakukan khususnya snorkeling dan selam skuba untuk melihat terumbu karang kipas (sea fan) di Melaka yang sebenarnya lebih besar berbanding di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga dengan ikan warna-warni yang kita gelar ikan ‘nemo’, cuma namun kekurangan kita hanyalah darjah kejernihan air Selat Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette