Home Ekonomi Syarikat Singapura rancang buka kilang robot di Malaysia

Syarikat Singapura rancang buka kilang robot di Malaysia

Model-model menunjukkan koleksi robot keluaran Robot GT di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JANUARI 2017.

PETALING JAYA- GT Robot merancang untuk membuka kilang pembuatan dan pemasangan robot bernilai RM300 juta di Malaysia.

Presiden GT Group, Dr. Paul Zhang Baolu berkata, kilang itu dijangka dibina di lokasi sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.

Kilang itu diunjur menjana pendapatan kira-kira AS$20 bilion atau bersamaan dengan 10 juta robot mudah alih.

“Ia adalah kilang pertama bagi pembuatan robot di Asia dengan perkakasan berteknologi tinggi selepas China,” katanya ketika berucap sempena pelancaran GT Dollar di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

GT Robot dan GT Dollar adalah syarikat di bawah GT Group yang berpangkalan di Singapura.

GT Group adalah sebuah entiti khusus dalam penyelesaian inovatif dalam teknologi maklumat dan e-perdagangan yang ditubuhkan pada tahun 2014.

GT Robot terlibat dalam penyelesaian robotik berciri-ciri manusia, menyediakan pelbagai teknologi dalam bidang automasi dan pembangunan perisian proprietari.

Menurut Paul, kilang itu dijangka menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengurus Produk GT Robot, Yiting Hao berkata, syarikat itu masih belum memutuskan bila kilang itu akan dibina.

Katanya, pada masa ini GT Robot sudah membangunkan robot protaip yang dinamakan GT Wonder Boy dan akan dipasarkan untuk komersial pada Mac ini di Beijing dan California pada bulan April.

Robot itu dianggarkan dijual pada harga AS$2,000 sebuah.

Yiting berkata, robot ini boleh berfungsi sebagai pembantu peribadi kepada pemiliknya.

Robot setinggi 238 milimeter itu berupaya melakukan penjejakan automasi, navigasi suara, boleh berkomunikasi dua hala, pendidik interaktif, perkhidmatan pelanggan pintar, jurugambar peribadi, menyanyi dan menari serta boleh bercakap pelbagai bahasa. – MalaysiaGazette