KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keputusannya keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Pada pengumuman yang dibuat menerusi sidang media, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat kerana telah hilang kepercayaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau turut menyeru pengundi Larkin agar memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.
“Muhyiddin bukan sahaja gagal membuktikan bawa parti ke tahap lebih baik, malah tidak berusaha memulihkannya selepas perpisahan dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tidak mempertahankan DUN Larkin dan tidak akan bertanding mana-mana kawasan DUN di Johor.
“Saya ingin seru pengundi dan penyokong saya di DUN Larkin beri undi anda kepada calon BN sebaliknya akan membantu UUMNO ke landskap lebih baik,” katanya.
Mohd. Izhar memegang jawatan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohd. Izhar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) atas tiket Bersatu memenangi kerusi DUN Larkin dengan 25,012 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 8,590.
Pada Khamis lalu, Ketua Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, meletak jawatan, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, dilaporkan tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN. – MalaysiaGazette