Home Ekonomi Industri kreatif hanya sumbang 6 peratus KDNK – Annuar Musa

Industri kreatif hanya sumbang 6 peratus KDNK – Annuar Musa

Annuar Musa

ALOR GAJAH – Penyertaan dalam gelombang pendigitalan negara melalui industri kreatif dalam kalangan masyarakat perlu diperkasakan lagi sehingga ia menjadi budaya di semua peringkat perniagaan berskala kecil dan mega.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana ketika ini masih ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap digitalisasi hanya untuk industri dan syarikat besar dan bukannya untuk perusahaan kampung.

“Pada masa ini, sumbangan industri kreatif hanya berada pada sekitar lima ke enam peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), negara dan kita merasakan ada ruang yang cukup luas untuk kita pertingkatkan lagi.

“Ada yang menganggap digitalisasi ini hanyalah untuk industri, perniagaan dan syarikat yang besar…sebenarnya tidak begitu, semua usahawan-usahawan termasuk kecil, mikro dan juga sederhana adalah sasaran kita untuk memastikan mereka menyertai program digitalisasi ini.

“Untuk itu dapat dilakukan, sememangnya perlu ada pendedahan, perlu ada latihan dan peluang-peluang yang dibuka kepada mereka bagi tujuan menggalakkan perkembangan industri kreatif dan penyertaan dalam digital ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada program Sembang Santai #KeluargaMalaysia@Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi merealisasikan pembudayaan ekonomi digital dalam kalangan masyarakat, kerajaan memberi peluang dan pendedahan melalui Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) menerusi pelancaran pelbagai kempen kesedaran ke setiap negeri.

“Usaha sebegini adalah salah satu inisiatif untuk memastikan industri kreatif memberi sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan dan juga menjadi satu daripada pemacu dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi program-program engagement (keterlibatan) seperti mana kita lakukan ini adalah mustahak untuk menyampaikan segala informasi berhubung program dan dasar kita,” katanya. – MalaysiaGazette