Home Utama Tidak guna lambang PKR, Azmin dakwa Anwar hilang keyakinan terhadap PH

Tidak guna lambang PKR, Azmin dakwa Anwar hilang keyakinan terhadap PH

Mohamed Azmin menyantuni masyarakat Tiong Hua di sekitar kawasan Gombak sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan di sambut Selasa ini.

KUALA LUMPUR – Langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, akar umbi pembangkang kini hangat mempersoalkan tindakan Pengerusi PH itu yang dilihat tidak bersedia menggunakan logo PH.

Beliau menegaskan, rakyat Johor perlu mengambil kira perkara itu ketika membuat keputusan dalam PRN Johor nanti.

“Bagaimana nak jelaskan kepada rakyat, apabila ketua sebuah gabungan parti tidak bersedia menggunakan logo parti sendiri.

“Ini satu pertanyaan yang sedang hebat diperkatakan di peringkat akar umbi. Kalau ketua sendiri tidak yakin dengan parti atau gabungan sendiri, itu satu perkara besar harus menjadi pertimbangan rakyat di Johor,” katanya ketika ditemui di Selayang Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Johor yang mengambil tindakan keluar parti, Mohamed Azmin menegaskan, ia tidak menjejaskan persiapan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.

Ujarnya, Bersatu sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menyifatkan tindakan keluar parti itu sebagai bukan perkara luar biasa, khususnya menjelang pilihan raya.

“Yang penting, parti ini masih kukuh, tegap berdiri dengan penyatuan yang bertambah kukuh dalam PN.

“Kita saksikan semalam bagaimana hasil muzakarah antara Pas dengan Bersatu, yang membuktikan PN masih kukuh dan akan terus berusaha mengukuhkan peranan kita dalam demokrasi di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin memberi amaran, PN tidak akan berkompromi dengan golongan kleptokrat.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin UMNO yang kini sedang berdepan pertuduhan rasuah.

Ujarnya, rakan komponen Bersatu dalam PN, iaitu Pas turut memberi amaran kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi bertindak melakukan PRN seperti di Johor kerana ia akan menggugat prestasi ekonomi dan kestabilan negara.

“Itu yang dilakukan PN sejak awal. Kita adalah gabungan yang mahukan perpaduan, kestabilan, kedamaian dan bukan persengketaan dan yang mengajak semua pihak duduk berbincang demi kepentingan rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette