Home Nasional Tukar nombor plat palsu takut bank tarik motosikal

Tukar nombor plat palsu takut bank tarik motosikal

Adenan (kiri) menunjukkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan dua pemilik motosikal dalam Ops Khas Motosikal di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang lewat malam tadi.

SEBERANG PERAI – Pinjaman tertunggak selama tiga bulan justeru bimbang motosikal dimiliki ditarik pihak bank.

Itu alasan diberikan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas sepasukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan dia memalsukan nombor pendaftaran motosikalnya menerusi Ops Khas Motosikal di Jambatan Pulau Pinang arah pusat bandar di sini, lewat malam tadi.

Selain itu, suasana operasi menjadi sedikit tegang apabila motosikal yang dinaiki sepasang kekasih bawah umur turut disita atas kesalahan sama, namun remaja perempuan berusia 16 tahun berkenaan bertengkar dengan pegawai operasi susulan tindakan tersebut.

Cukai jalan tamat tempoh serta nombor pendaftaran palsu antara kesalahan yang dikenal pasti.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, bagi kes pertama pemilik motosikal jenis Yamaha LC135 sendiri mengaku sengaja tukarkan nombor pendaftaran bagi mengelakkan motosikalnya ditarik pihak bank susulan gagal bayar tunggakan.

Jelas beliau, bagi kes kedua pula, remaja bawah umur itu mengaku motosikal jenis Honda EX-5 tersebut milik ibunya dan mereka menukar nombor pendaftaran susulan cukai jalan tamat tempoh sejak tahun 2011.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati kedua-dua nombor palsu yang digunakan itu didaftarkan atas motosikal lain.

Adenan.

“Tindakan mereka ini jelas mendatangkan kesusahan kepada pemilik kenderaan asal yang menjadi mangsa ‘klon’, selain dibebani saman trafik dan pelbagai kesalahan lalu lintas tidak dilakukan.

“Kita sita kedua-dua motosikal tersebut dan pemilik asal perlu selesaikan semua notis yang diberikan seperti memperbaharui cukai jalan, insurans sebelum datang menuntut motosikal,” katanya kepada pemberita di lokasi.

Operasi khas bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar.

Sebanyak 538 motosikal diperiksa dalam operasi tersebut.

Menurut Adenan, secara keseluruhan sebanyak 369 notis saman terhadap 334 penunggang motosikal dalam operasi yang dijalankan serentak di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang dan Plaza Tol Juru.

“Daripada jumlah itu, tiada lesen memandu kesalahan paling banyak dikenal pasti dan diikuti dengan kesalahan teknikal antaranya nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan pengubahsuaian motosikal.

“Pihak berkuasa jalankan operasi bagi memastikan pengguna patuh undang-undang yang ditetapkan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan maut terutamanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal,” kata Adenan. – MalaysiaGazette