Home Nasional KPM perlu pastikan pelajar ketinggalan diberi sokongan, bantuan

KPM perlu pastikan pelajar ketinggalan diberi sokongan, bantuan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang melaksanakan program pemulihan pembelajaran yang efektif sebagai membina sistem yang lebih anjal terhadap krisis masa depan susulan pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Belia Malaysia (Johor), S. Kiran Raj berkata, berdasarkan statistik di Malaysia, sebanyak 36 peratus atau 1.5 juta pelajar tidak dapat belajar secara atas talian disebabkan pelbagai faktor ketika tempoh pandemik tersebut.

Katanya, keadaan itu sudah tentu akan mengakibatkan masalah “learning loss” iaitu perubahan dalam pencapaian akademik akibat gangguan dalam persekolahan formal.

“Sekiranya tiada sebarang intervensi daripada pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu ini, ia berkemungkinan akan mempunyai kesan negatif dalam jangka masa yang panjang terhadap kesejahteraan masa depan pelajar kita.

“Isu ini akan memberikan kesan seperti mempunyai kurang akses kepada pendidikan tinggi, kadar penyertaan pasaran buruh yang lebih rendah dan purata pendapatan secara individu akan lebih merosot,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kiran Raj berkata, KPM harus memastikan pelajar yang ketinggalan menerima sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mencapai sasaran pembelajaran yang berkualiti.

Dengan memberikan contoh, beliau menjelaskan, di Itali, pelajar sekolah menengah yang menerima tunjuk ajar secara atas talian untuk seminggu melalui komputer, tablet dan telefon pintar telah melihat peningkatan sebanyak 4.7 peratus dalam prestasi mereka terutama di dalam subjek matematik, bahasa Inggeris dan Itali.

Seterusnya kata beliau, kaedah pemulihan keduanya adalah dengan melaksanakan program kesinambungan pembelajaran untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran teradun kepada pelajar.

“Program ini juga dapat membantu meningkatkan komunikasi antara guru dan pelajar, mendapat akses kepada bahan pendidikan dan pelajar dapat meneruskan persekolahan semasa tempoh kuarantin dipertingkatkan apabila sekolah ditutup.

“Program pemulihan pembelajaran seperti ini boleh membantu menangani jurang pembelajaran,” ujarnya.

Selain itu katanya, bagi memastikan sistem pemulihan yang berdaya tahan, bajet pendidikan juga perlu dipertingkatkan dengan kerajaan perlu memberikan peruntukan kepada kerajaan tempatan bagi pembiayaan alat bantu mengajar dan peralatan, memberikan sokongan dan perlindungan sosial kepada guru dan kakitangan KPM melalui kenaikan gaji.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memantau dengan teliti tahap pembiayaan secara keseluruhan untuk pendidikan bagi memastikan dana yang diperuntukkan disalurkan dengan cekap terutamanya bagi pelajar yang paling memerlukannya.

“Walaupun ini adalah satu proses jangka yang panjang, saya berharap usaha ini akan membantu sistem pendidikan negara pulih daripada kesan Covid-19 di samping menyesuaikan diri dengan pendekatan yang lebih efektif dan fleksibel pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette