KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegur sikap pemimpin politik di negara ini yang saban hari bertelingkah untuk berebut kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Beliau berkata, sikap yang ditunjukkan sesetengah pemimpin politik hanya bertujuan untuk menjatuhkan antara satu sama lain demi kepentingan diri sendiri.
“Pemimpin politik Malaysia hari-hari bergaduh, berebut kuasa dan bertungkus lumus merancang untuk menjatuhkan sesama sendiri bagi kepentingan diri.
“Negara lain lebih maju kerana pemimpin politik bertungkus-lumus membangunkan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat mereka,” katanya dalam hantaran terbaru di Twitter miliknya, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kesal dengan sikap segelintir pemimpin UMNO seolah-olah lupa diri walaupun Pas bertungkus-lumus menyelamatkan parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Abdul Hadi menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).
Malah Abdul Hadi menyifatkan Pas bukan mahu mengajar itik berenang, sebaliknya parti Islam itu cuma mahu menyelamatkan itik yang patah kaki dalam PRU14.
Abdul Hadi sebaliknya menuduh UMNO meninggalkan Pas selepas parti Melayu itu kembali pulih daripada krisis kepercayaan rakyat. – MalaysiaGazette