DUBAI – Emiriah Arab Bersatu memintas peluru berpandu balistik yang dilepaskan oleh pemberontak Houthi awal Isnin ketika Presiden Israel melawat negara itu, kata pihak berkuasa.
Ia merupakan serangan ketiga seumpama itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Serangan di tengah-tengah lawatan Presiden Isaac Herzog hanya mencetuskan ketegangan berterusan yang menjejaskan Teluk Parsi yang lebih luas, menyaksikan beberapa siri serangan apabila perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia runtuh dan perang Yaman selama bertahun-tahun masih berkecamuk.
Ketika perunding di Vienna kini cuba menyelamatkan perjanjian itu dan tentera yang disokong UAE menekan Houthi, pemberontak bertindak melancarkan serangan jarak jauh.
Serangan tersebut mewakili cabaran utama bagi UAE, yang telah lama mempromosikan negara itu kepada perniagaan antarabangsa sebagai sudut selamat di kawasan kejiranan yang berbahaya.
Agensi berita WAM milik kerajaan UAE melaporkan mengenai pintasa itu berkata, “serangan itu tidak mengakibatkan sebarang kerugian kerana sisa peluru berpandu balistik jatuh di luar kawasan berpenduduk”.
Tidak jelas di mana sisa peluru berpandu itu jatuh.
Agensi kawalan trafik udara awam negara itu berkata, tiada kesan serta-merta ke atas perjalanan udara di UAE, yang menjadi pangkalan kepada syarikat penerbangan jarak jauh, Emirates dan Etihad.
Dalam pada itu, pendakwa raya tertinggi negara itu telah mengancam orang ramai yang merakam atau menyiarkan imej kejadian sedemikian akan menghadapi tuduhan jenayah di UAE, sekali gus menyebabkan laporan mengenai insiden sedemikian cukup rumit bagi wartawan.
Dengan ketiadaan video itu, Kementerian Pertahanan UAE mengeluarkan rakaman hitam-putih yang disifatkan sebagai menunjukkan kemusnahan pelancar peluru berpandu balistik di wilayah al-Jawf Yaman kira-kira 30 minit selepas serangan itu.
Al-Jawf terletak kira-kira 1,350 kilometer (840 batu) barat daya Abu Dhabi. – AP (https://apnews.com/article/travel-dubai-united-arab-emirates-air-travel-yemen-1e103b0a537aa69eab242ddc9db41799)