KUALA LUMPUR – Beberapa pengguna laman sosial hari ini mengingatkan semula orang ramai mengenai caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank (inter bank) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang akan kembali berkuatkuasa mulai esok.
Menerusi laman Twitter, seorang pengguna berkongsikan semula hantaran yang telah dimuat naik oleh akaun rasmi Maybank pada 15 Disember lalu mengenai pemakluman berkenaan.
“Jangan lupa esok pengeluaran wang di ATM interbank akan mula di caj RM1 semula,” ciap pengguna tersebut.
Sementara itu, pelbagai respons diberikan oleh warganet memaklumkan rata-rata mereka terlupa mengenai caj RM1 yang akan kembali dikenakan terhadap pelanggan.
Seorang warganet berkata, caj pengeluaran itu akan menyaksikan orang ramai kembali beratur panjang di beberapa buah ATM.
“Dan bermula lah orang ramai beratur kat certain ATM nanti,” ciapnya.
Manakala ada warganet menyarankan supaya orang ramai terus menggunakan kaedah ‘cashless‘ sama ada membuat pembayaran menggunakan debit kad atau kaedah QR pay.
Namun, ada pengguna menyatakan tidak semua kedai menyediakan kemudahan pembayaran secara atas talian atau QR pay dan pelanggan perlu membayar secara tunai.
Media sebelum ini melaporkan, caj pengeluaran RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin ATM melibatkan beberapa buah bank di negara ini akan kembali berkuatkuasa mulai Februari tahun depan.
CIMB Malaysia sebelum ini mengeluarkan satu kenyataan di laman sosial memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada para pelanggan mereka.
“Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM atau mesin layan diri bukan CIMB Bank atau CIMB Islamic.
“Anda (pelanggan) masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri CIMB,” katanya.
Dalam pada itu, Maybank turut mengeluarkan kenyataan yang sama mengenai caj pengeluaran RM1 antara bank yang akan mula berkuat kuasa pada tarikh sama.
Pada April 2020, kerajaan memberi pengecualian caj pengeluaran RM1 di semua mesin Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) berkuat kuasa pada 6 April 2020.
Pengumuman itu dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Keselamatan yang menjelaskan, langkah berkenaan dibuat bagi memastikan orang ramai tidak berpusu-pusu membuat pengeluaran menerusi kaunter juruwang. – MalaysiaGazette