GEORGE TOWN – Walaupun kuih bakul pandan merupakan inovasi terkini, namun penghasilannya secara tradisional mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Tionghua untuk dijadikan hidangan wajib setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut pengusahanya, Peggy Chook, 33, kuih bakul pandan bukan saja disukai oleh masyarakat berbilang bangsa di negara ini malah turut mendapat permintaan di luar negara.
Jelasnya, resipi kuih bakul pandan itu dihasilkan sendiri oleh ibunya, Chen Soo Yean dan mereka sudah mengusahakan perniagaan tersebut sejak 15 tahun lalu.
Kata Peggy, permintaan kuih bakul pandan mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan masyarakat Cina susulan warna hijau membawa maksud kekayaan dan semestinya ia menjadi rebutan sempena tahun baru mereka.
Ketika ditanya mengenai proses menghasilkan kuih bakul pandan, Peggy berkata, ia nampak mudah namun untuk menghasilkan kuih bakul pandan yang sedap dan sempurna memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Penghasilan kuil bakul pandan itu dimulakan dengan membaling garam dan beras di halaman rumah oleh ibu kerana ia merupakan kepercayaan masyarakat Tionghua bagi menghalau bala.
“Bagi proses pengukusan pula, kami memerlukan masa lebih enam jam apatah lagi perlu menunggu beberapa hari bagi memastikan teksturnya mampat.
“Kami tetap menghasilkannya dengan cara tradisional walaupun resipinya telah diolah malah, setiap hari saya dan ibu akan mengambil masa kira-kira 13 jam untuk menghasilkan 40 biji kuih bakul pandan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Tambah Peggy, bagi sambutan tahun baharu ini mereka menerima 1,300 tempahan kuih bakul pandan daripada pelanggan termasuk di Singapura.
“Kami buka tempahan pada November lalu dan dalam tempoh sebulan kami terpaksa tutup tempahan kerana tidak cukup kekuatan memandangkan hanya kami dua beranak sahaja mengusahakannya.
“Selain itu, kami juga tidak menerima tempahan yang banyak untuk menjaga kualiti penghasilan kuih bakul pandan itu sendiri.
“Setiap satu kuih bakul pandan itu dijual pada harga RM25 dan kami hanya lakukan perniagaan ini pada musim perayaan saja,” katanya. – MalaysiaGazette