IPOH – Polis sedang meneliti video tular yang memaparkan aktiviti riadah sekumpulan pengunjung di sebuah taman tema di Tambun di sini, yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang terlibat bagi menentukan sama ada berlaku ketidakpatuhan SOP atau sebaliknya.
Kata beliau, semakan dengan pihak pengurusan taman tema terbabit mendapati kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang.
“Berdasarkan maklumat pihak pengurusan kapasiti kolam boleh memuatkan seramai 500 orang dan ketika kejadian jumlah tersebut tidak mencapai 50 peratus.
“Bagaimanapun, kita sedang meneliti fakta berhubung pelanggaran SOP membabitkan mana-mana pihak dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan sekumpulan individu sedang melakukan aktiviti riadah air di sebuah taman tema dalam keadaan seakan-akan menyertai pesta air disulami alunan muzik. – MalaysiaGazette