Home Nasional Pejabat Hal Ehwal Pengguna Selangor tunggu laporan siasatan dakwaan kekurangan telur ayam

Pejabat Hal Ehwal Pengguna Selangor tunggu laporan siasatan dakwaan kekurangan telur ayam

Exco Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) melihat antara barangan harga kawalan pada Program Walkabout Ops Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dan Keluarga Malaysia 2022 di NSK Trade City BMC Mall, Cheras, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2022.

KAJANG – Pejabat Hal Ehwal Pengguna Selangor sedang menunggu laporan daripada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung siasatan terhadap dakwaan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, siasatan telahpun dilakukan oleh pihak berkenaan dan tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

“Untuk makluman semua aduan-aduan ini akan diambil tindakan segera oleh pasukan penguatkuasa…kita sedang menunggu laporan daripada penguatkuasa berkenaan operasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout bagi meninjau harga barang di Pasaraya NSK, Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan berhubung ketiadaan bekalan telur ayam di pasaran ketika ini.

Difahamkan, perkara itu berlaku di kawasan Batang Kali sejak beberapa hari lalu yang bukan sahaja melibatkan bekalan minyak masak paket.

Mengulas lanjut Mohd Zawawi meminta agar orang ramai menyalurkan maklumat berhubung perkara sedemikian dengan menggunakan saluran aduan rasmi menerusi aplikasi Whatsapp di talian p 019-279 4317; portal e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; emel di [email protected]; Ez ADU KPDNHEP atau menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-5514 4393/ 5518 1810/ 5512 5485.

Sementara itu mengulas mengenai walkabout yang diadakan Mohd Zawawi berkata, ia telahpun bermula sejak 29 Januari lalu sehingga 4 Februari ini.

Katanya, ia diadakan bertujuan bagi memantau harga terhadap enam jenis barang kawalan iaitu ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup (peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Jelasnya, peniaga perlu menggunakan plat berwarna merah jambu untuk mempamerkan harga terhadap kesemua jenis barangan kawalan itu bagi membezakan ia adalah barang kawalan.

Ujarnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai salah laku peniaga membabitkan harga jualan terutama yang melibatkan barangan terkawal di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP TBC) 2022.

Tegasnya, peniaga yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan mereka boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM5,000 bagi individu dan jika membabitkan syarikat denda boleh dikenakan sehingga RM20,000.

Bagaimana katanya, denda yang dikenakan adalah sebagai peringatan kepada peniaga agar tidak meletakkan harga dengan sewenang-wenangnya.

“Rasanya tidak timbullah isu hendak mengambil kesempatan cuma denda yang dikenakan itu bermula dengan RM5,000, RM10,000 sebagai kompaun,” katanya. – MalaysiaGazette