Home Nasional Sambut Tahun Baru Cina bersederhana, usah lalai dengan SOP

Sambut Tahun Baru Cina bersederhana, usah lalai dengan SOP

KUALA LUMPUR – Rakyat diajak menyambut Tahun Baru Cina esok dengan sederhana namun kemeriahannya tetap dirasai dan usah lalai untuk sentiasa memberi keutamaan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, mengikut kalendar lunar Cina, tahun ini merupakan tahun Harimau yang melambangkan kekuatan dan keberanian yang sentiasa wujud dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, ia jelas dapat dilihat tatkala negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dan semua ini dapat didepani dan diharungi dengan tabah sekali.

“Sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan utama bagi masyarakat Cina di seluruh dunia yang dianggap sebagai permulaan dan pembaharuan dalam kehidupan.

“Semangat berjuang, kebersamaan dan penyatuan dalam Keluarga Malaysia mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan kesepakatan yang telah sekian lama terbentuk dan wujud di antara kita.

“Sama-sama kita hayati dan pelihara kekayaan dan kepelbagaian budaya serta adat resam berbilang kaum dan agama serta titik pengukuhan sikap hormat-menghormati sesama sendiri.

“Semoga Tahun Harimau ini akan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan buat kita semua dalam menempuh kehidupan yang mendatang,” katanya. – MalaysiaGazette