KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan desakan pengeluaran ‘one-off’ wang KWSP RM10,000 buat kali terakhir bukan isu politik lagi.
Sebaliknya, kata beliau, isu itu merupakan kepentingan rakyat yang masih dalam kesusahan berdepan kesan ekonomi ‘long Covid’.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kini cuma rakyat dan UMNO yang masih bersama dalam perkara itu.
“Kita faham rakyat masih terus berharap agar mereka dibenarkan mengeluarkan sedikit lagi wang daripada akaun KWSP untuk digunakan pada waktu sukar ketika ini.
““Sebab itu rakyat kesal apabila pembangkang dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyokong Menteri Kewangan tidak membenarkan rakyat mengeluarkan wang KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid menambah, kini hanya tinggal rakyat dan UMNO memahami betapa terdesaknya sebahagian rakyat mahu mendapatkan wang tersebut bagi menampung keperluan diri dan keluarga.
“Rakyat jadikan apa yang disaksikan itu sebagai tauladan pada masa depan. Kini rakyat sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam membuat penentuan pada PRN Johor dan PRU-15,” katanya.
Barangkali ujarnya, mereka yang membantah permintaan rakyat itu yang beragendakan politik kerana khuatir kebenaran pengeluaran wang KWSP boleh memberi merit kepada parti UMNO dan sebilangan kepimpinannya.
“Nasihat saya kepada mereka tidak semua perkara perlu dilihat dalam konteks politik.
“Perkara melibatkan isu yang merakyat seharusnya didokong oleh semua. ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’,” katanya. – MalaysiaGazette