Home Utama Bila kita tekan butang, dia marah – Mohamad Hasan

Bila kita tekan butang, dia marah – Mohamad Hasan

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Keadaan semasa di Johor adalah berbeza dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, politik di Johor sangat genting kerana dibeza dengan satu kerusi pada Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Johor pula politik genting satu sahaja majoriti.

“Kerajaan dan Menteri Besar (MB) tidak boleh sentiasa diugut, dan bawah ancaman dari pihak berkenaan itu yang buat MB Johor bentangkan bahawa perlu dibubarkan DUN dan memang ada justifikasi untuk dibubarkan.

“Kita tidak mahu kerajaan yang ada sentiasa diugut,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, PRN Johor perlu diadakan bagi memastikan politik di negeri itu kembali aman.

“Ada orang nak tekan butang dan bukan kita yang nak tekan butang.

“Sekarang bila kita tekan butang dia marah. Inilah perkara yang perlu diselesaikan supaya politik Johor aman.

“Bukan sahaja-sahaja kita nak buat PRN dan tidak ada ura-ura kemungkinan bahawa PRN negeri lain juga nak diadakan, itu tidak betul,” katanya.

Kenyataan Mohamad itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pihaknya bersedia untuk menekan ‘butang’ menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan UMNO Johor.

Sementara itu, Mohamad berkata, senarai calon-calon bagi parti itu masih belum diputuskan.

Jelasnya, senarai itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Isu pembahagian kerusi belum disebut dan kami lihat dan ini akan kita buat setelah kita mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN dan saya bersama-sama rakan akan bincang strategi dan taktikal yang perlu dilakukan untuk kita menghadapi PRN Johor. Ini kerana PRN Johor merupakan pilihan raya yang penting kerana ia tidak semudah apa yang disangka,” ujarnya. – MalaysiaGazette