Home Nasional ‘Hotspot’ mat rempit digempur, 23 ditahan

‘Hotspot’ mat rempit digempur, 23 ditahan

23 samseng jalanan diberkas dalam operasi khas di Sungai Nibong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Tindakan samseng jalanan menjadikan beberapa lokasi sekitar negeri ini sebagai litar haram membawa padah apabila mereka diberkas polis awal pagi tadi.

Ops khas dengan kekuatan 21 anggota termasuk tiga pegawai yang bermula bermula 2 pagi itu ditumpukan di Jalan Aziz Ibrahim, Sungai Nibong, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, pihaknya melakukan serbuan bertindak atas aduan orang ramai berhubung aktiviti samseng jalanan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya lain dan diri sendiri.

Zafri (kanan) memeriksa motosikal salah seorang samseng jalanan.

Jelas beliau, dalam serbuan itu seramai 23 individu ditahan termasuk motosikal mereka disita kerana gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Dalam serbuan itu juga, kita berjaya gagalkan cubaan seorang penunggang motosikal melarikan diri susulan terdapat air ketum dalam milikannya.

“Kami memberi tumpuan kepada laluan berkenaan selepas pemantauan dilakukan mendapati ia menjadi tumpuan penunggang motosikal terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Sebelum melakukan serbuan, anggota membuat kepungan dan menutup laluan di kedua-dua arah di kawasan berkenaan bagi memastikan mereka tidak lolos,” katanya kepada pemberita di lokasi, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya dan individu atau kumpulan yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk melakukan aksi liar yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawal aktiviti dan pergerakan anak ketika berada di luar rumah selain tidak membenarkan anak mereka menggunakan kenderaan di atas jalan raya tanpa mempunyai lesen memandu yang sah,” kata beliau. – MalaysiaGazette