MELAKA – Polis Melaka menahan 1,047 individu terlibat aktiviti perjudian dan merampas wang tunai berjumlah RM159,269 dalam serbuan yang dijalankan sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tindakan itu hasil 862 serbuan membabitkan pelbagai aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negeri ini.
Menurutnya, ia melibatkan 260 serbuan berkaitan kegiatan loteri awam tanpa lesen, judi dalam talian (565), judi pusat panggilan (5), judi catit taruh (11), judi dalam bangunan (18) dan tiga serbuan judi di tempat bebas.
“Hasilnya kita membuat 1,047 tangkapan dan merampas 607 peralatan termasuk komputer, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM159,269.
“Sebanyak 862 kertas siasatan telah dibuka dengan 565 daripadanya berkaitan judi online dan 308 berjaya dituduh manakala selebihnya masih dalam tindakan untuk pertuduhan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Januari lalu pula, polis Melaka melakukan 61 serbuan membabitkan 37 serbuan judi dalam talian, judi loteri awam tanpa lesen (23) dan satu judi tempat bebas.
“Hasil serbuan kita berjaya menahan 70 individu dan merampas 40 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM9,005.
“Sebanyak 61 kertas siasatan turut dibuka untuk pertuduhan,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Majid menegaskan pihaknya memandang serius terhadap aktiviti perjudian dan sentiasa fokus dengan mengambil tindakan berkesan dalam memastikan aktiviti perjudian dapat dihapuskan.
“Usaha membanteras sindiket perjudian masih giat dijalankan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat amat dialu-alukan,” katanya. – MalaysiaGazette