Home Nasional Peniaga bimbang berdepan gangguan bekalan telur ayam di P. Pinang

Peniaga bimbang berdepan gangguan bekalan telur ayam di P. Pinang

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati bekalan telur ayam masih ada di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kebanyakan peniaga pasar awam dan kedai runcit di Pulau Pinang menyatakan rasa bimbang bakal berdepan situasi kekurangan bekalan telur ayam tidak lama lagi.

Rata-rata peniaga mendakwa telur ayam masih ada buat masa ini untuk dijual kepada pengguna namun agar sukar mendapat bekalan yang mencukupi daripada pemborong sejak dua minggu lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kedai runcit dan pasar awam di sini, mendapati bekalan telur ayam masih ada dijual.

Menurut peniaga pasar awam, Goh Lye Kim, 55, dia sudah terlibat dalam perniagaan telur ayam sejak 30 tahun lalu dan tahun ini merupakan kali pertama dia agak sukar mendapatkan bekalan penuh yang ditempahnya.

“Dulu saya boleh dapat bekalan 200 papan dalam tempoh seminggu namun kini 100 papan pun agak susah.

“Kita bimbang masalah ini akan berpanjangan hingga menyebakan berlaku kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini.

“Harap kerajaan segera selesaikan masalah ini supaya rakyat tidak terbeban,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Zamzuri Maarof, 43, berkata, bekalan telur ayam masih ada dan kekal mengikut harga siling ditetapkan.

“Setakat ini bekalan telur tidak terputus dan harganya mengikut skim harga kawalan.

“Cuma minggu ini saya tidak menerima stok telur ayam kerana pembekal tidak beroperasi susulan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa berkuat kuasa pada 5 Februari ini hingga 5 Jun depan. – MalaysiaGazette