Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata mangsa A. Sivapaki, 74, dijumpai dalam keadaan selamat oleh sepasukan polis dan penduduk kampung setelah dua ekor anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengesan mangsa di sekitar kawasan berkenaan pada 11.30 pagi.
“Pencarian telah dimulakan pada pukul 9 pagi dan tujuh kumpulan dipecahkan dalam radius pencarian tujuh kilometer di kawasan Kampung Sega Tengah, Kampung Sega Hilir dan Ecopark Kuala Sawah.
Beliau berkata polis bersama penduduk kampung kemudian telah turun ke lokasi berkenaan dan menjumpai mangsa yang berada dalam keadaan lemah.
Nanda berkata usaha mengeluarkan mangsa dilakukan oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan meredah kawasan berpaya itu, kemudian mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi pada 31 Jan lepas, Sivapaki dilaporkan tidak pulang selepas menguruskan lembu ternakannya di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau.
— BERNAMA