Home Dunia Britain luluskan pemberian vaksin Covid-19 kelima

Britain luluskan pemberian vaksin Covid-19 kelima

Seorang sedang memegang botol kecil berlabel pelekat "Vaksin COVID-19 Coronavirus" dan picagari perubatan di hadapan logo Novavax yang dipaparkan (Foto: REUTERS/Dado Ruvic).- Gambar hiasan.

BRITAIN – Britain meluluskan vaksin Covid-19 kelima dalam usaha mengekang penularan varian Omicron.

Ia melibatkan vaksin Nuvaxovid yang telah diluluskan untuk digunakan di Britain kepada rakyatnya yang berumur 18 tahun ke atas.

Ini kerana, ia memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang diperlukan, kata Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) UK dalam satu kenyataan.

Malah pihak berkuasa British dan Novavax pada 2020 telah bersetuju untuk membekalkan 60 juta dos suntikan dan bekerjasama dalam ujian peringkat akhir untuk vaksin di negara itu.

Sementara itu, syarikat Amerika Syarikat (AS)  itu mula menghantar dos ke Kesatuan Eropah pada Januari dengan 27 juta dijangka tiba pada suku pertama dan 42 juta pada suku kedua.

Pada Jun tahun lalu didapati vaksin berkenaan lebih 90 peratus berkesan dalam percubaan AS terhadap pelbagai varian termasuk Delta manakala data awal dari Disember juga mencadangkan ia akan berfungsi terhadap varian Omicron.

“Sungguh menggembirakan melihat  pengawal selia ubat kami meluluskan satu lagi vaksin Covid-19. Akhirnya, akan ada peranan untuk (vaksin) ini sebagai penggalak,” kata Paul Heath, ketua percubaan UK dan profesor penyakit berjangkit pediatrik di Universiti London.

Bagaimanapun vaksin yang sama belum diluluskan sebagai dos penggalak.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif MHRA, June Raine berkata, pihaknya akan meneruskan kerja keselamatan penting kami dalam memantau penggunaan semua vaksin Covid-19 untuk memastikan manfaatnya dalam melindungi orang ramai daripada penyakit Covid-19 selain terus mengatasi sebarang risiko. – CNA NEWS- https://www.channelnewsasia.com/world/britain-gets-fifth-covid-19-vaccine-after-novavax-approval-2477561