KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Johor jika berlaku mungkin akan menyebabkan keretakan dalaman malahan memberi implikasi kepada persediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum.
Pemimpin PH memberitahu China Press, Johor merupakan “makmal” untuk pakatan politik itu menentukan lambang yang akan digunakan dalam pilihan raya umum.
“Memang terdapat pertikaian dalam soal penggunaan lambang dan kami terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini buat sementara waktu.
“Walau bagaimanapun, jika kekalahan seumpama di Melaka dan Sarawak berulang di Johor, keadaan ini akan memperbesarkan perpecahan dalaman dan memberi impak kepada kami untuk menghadapi pilihan raya umum,” kata sumber.
Menurutnya, PKR bertegas mahu menggunakan lambang sendiri dan bukannya lambang PH untuk bertanding kerana ramai pengundi di luar bandar kurang mengenali lambang PH.
Jelasnya, Amanah dan DAP yang bertumpu di kawasan bandar pula tidak terbelenggu dengan isu yang dihadapi PKR di luar bandar.
Tambahnya, penggunaan lambang PH juga selari dengan matlamat “tukar kerajaan” yang disasarkan Amanah dan DAP sejak pilihan raya lalu.
“Penggunaan lambang berbeza bagaimanapun menampakkan PH kini hanya tinggal nama sahaja dan ini memberi peluang kepada lawan untuk mengkritik kami.
“Selain itu, memang sukar untuk menembusi kawasan luar bandar dan tidak perlu untuk PH bertanding menggunakan dua logo berlainan,” katanya.
Jelasnya, keretakan PH telah bermula di Melaka apabila DAP tidak bersetuju dengan tindakan PKR yang menerima “katak politik.”
“Keretakan hanya akan bertambah besar sekiranya keputusan di Johor tidak memenuhi jangkaan dan harapan kami,” katanya. – MalaysiaGazette