Home Politik PH gagal tadbir negara kerana terlalu ikut propaganda – Shahrir  

PH gagal tadbir negara kerana terlalu ikut propaganda – Shahrir  

Temubual eksklusif SkopMG bersama Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengenai PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Sharir Abdul Samad menempelak Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mendakwa gagal mentadbir negara disebabkan oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tempoh 22 bulan yang dipegang PH dan 17 bulan oleh Perikatan Nasional (PN) merupakan tempoh cukup baik untuk memajukan negara.

“Saya minta maaflah… tapi apa yang saya lihat mereka hanya terlalu mengikut propaganda mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita semua faham, propaganda yang dimainkan adalah untuk menang. Tapi, selepas menang, urus tadbirlah negara.

“Jangan pula, propaganda itu dijadikan bahan, contohnya dulu kata nak hapus tol, akhirnya tak boleh nak buat,” katanya Ketika menjadi panel program SKOP MG bertajuk PRN Johor: Mampukah UMNO Tawan Kembali?

Shahrir berkata, tidak hanya itu, propaganda yang sering dilaungkan mereka termasuklah menurunkan harga minyak petrol.

“Perkara itu juga mereka tak boleh buat. Pemimpin politik ini seharusnya faham antara propaganda dan urus tadbir. Kalau propaganda berlebih-lebih sangat, bagi 22 tahun pun belum tentu selesai,” katanya lagi.

Jelasnya, sepanjang  tempoh 22 bulan itu sudah memadai jika sesebuah kerajaan tahu apakah peranan mereka sebenarnya.

“Saya pernah menjadi menteri selama setahun sahaja iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Ketika itu harga minyak dunia melambung tinggi. Walaupun berdepan krisis tetapi tugas kita adalah mententeramkan rakyat.

“Kita memberikan subsidi minyak dan rebat diberikan kepada pengguna kenderaan di bawah 2000 cc serta motosikal juga ketika memperbaharui cukai jalan,” tambahnya.

Jelasnya, ada acara untuk membantu rakyat ketika mendepani apa juga krisis.

“Saya juga yang mengubah sistem petrol daripada RON93 kepada RON95 yang digunakan sehingga ke hari ini.

“Itulah dalam tempoh setahun dalam pentadbiran, tidak hanya itu malah saya mengubah kementerian saya ini yang sebelum itu hanya dikenali sebagai menguatkuasa harga barang kepada kementerian ekonomi dalam bidang perdagangan dalam negeri,” tambahnya.

Shahrir berkata, menjadi menteri perlu mempunyai falsafah dan tahu apa yang harus dibuat dalam ruang lingkup pentadbiran.

“Masalah mereka adalah tidak tahu menguruskan kerajaan ketika diberikan peluang oleh rakyat dan terlalu percaya propaganda mereka.

“Siapa yang suruh batalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST)? Pada saya lebih baik diturunkan kadar peratusan daripada enam kepada lima atau empat peratus.

“Ini tidak… mereka kata hutang Malaysia dah banyak hingga sampai RM1 trilion. Mereka ambil dividen Petronas, jual aset dalam Khazanah Nasional.

“Apa yang mereka lakukan itu? Itu bukan perkara baik,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, ketidakcekapan PH mengurus tadbir negara menyebabkan pakatan parti itu kalah dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

“Mereka buat gambaran Tabung Haji dirompak dan macam-macam lagi. Akhirnya, lain pula yang dibuat. Itulah yang membantu BN dan secara tidak langsung menyusahkan PH sendiri.

“Rakyat dah beri mandat tetapi mereka gagal laksanakan, jangan salahkan BN,” katanya. – MalaysiaGazette