Home Seni Hidup Usop kini suami orang

Usop kini suami orang

Peserta Big Stage 2020, Usop selamat bernikah dengan gadis pilihan dan tunangnya, Nur Fatihah Md Hashim.

KUALA LUMPUR – Peserta Big Stage 2020, Usop selamat bernikah dengan gadis pilihan dan tunangnya, Nur Fatihah Md Hashim.

Usop atau Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor, 24, selamat mendirikan rumah tangga menerusi majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah Permatang Tok Gelam, Pulau Pinang berwalikan Md Hashim Nordin yang juga bapa pengantin perempuan.

Usop berharap berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian dirinya dan Nur Fatihah sehingga ke anak cucu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

“Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tetapi saya berharap agar dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin,”katanya.

Ketika majlis, pihak perempuan memberikan sembilan dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.

Selain itu, pengantin perempuan juga menerima mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai acara batal air sembahyang.

Sementara itu, Usop berkata beliau dan isteri tidak terburu-buru untuk mendapatkan cahaya mata sebaliknya ingin bina kehidupan berumah tangga terlebih dahulu.

“Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru sebaliknya saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba,” tambahnya.

Sebagai rekod, Usop Dan Nur Fatihah mengikat tali pertunangan pada 4 November lalu selepas dua tahun menjalinkan hubungan cinta.- MalaysiaGazette