KUALA LUMPUR – Pembinaan terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam dekat sini antara langkah jangka panjang yang dicadangkan bagi mengatasi bencana banjir.
Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut mencadangkan pembinaan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.
Turut dicadangkan adalah pembangunan kawasan penempatan berdaya tahan banjir seperti sponge city di China.
Cadangan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Mesyuarat secara telesidang membabitkan menteri besar dan ketua menteri itu membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.
Bencana banjir yang melanda beberapa kawasan terutama Lembah Kelang hujung tahun lalu telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM6.1 bilon.
Ismail Sabri menegaskan, bencana tersebut seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi banjir pada masa akan datang.
“Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut menggariskan lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara.
Antaranya termasuk Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
Ismail Sabri berkata, kementerian dan agensi terlibat juga disarankan untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.
“Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.
“Kerajaan sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini.
“Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu,” kata Ismail Sabri.
Tambah beliau, peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.
Oleh itu mesyuarat tersebut bersetuju supaya kerajaan memberi fokus terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan
keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir. – MalaysiaGazette