KUALA LUMPUR – Teater Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium DBP pada Oktober depan memaparkan sisi negatif gejala rasuah, salah guna kuasa dan tamak sehingga menyebabkan kejatuhan sebuah empayar hebat kepada kuasa asing.
Teater itu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Penerbit Teater Bahara Emas, Siti Rohayah Attan memberitahu, seramai 40 barisan pelakon pembantu terbabit dalam pementasan teater itu nanti.
Jelasnya apa yang menarik, barisan pelakon komersial yang menerajui pementasan ini adalah Esma Daniel, Datuk Jalaluddin Hassan, Farahdhiya, Amar Asyraf, Izzue Islam, kumpulan Forteen, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.
“Teater ini turut memuatkan lebih 10 lagu ciptaan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).
“Rosminah juga menulis lirik untuk rangkaian lagu yang dicipta khas untuk teater ini iaitu Cinta Semalar Segar, Puji Sahabat, Bahara Emas, Serikandi Pertiwi dan Gurindam Melaka,” katanya.
Sementara itu, Siti Rohayah berkata, Bahara Emas dipilih sebagai salah satu aktiviti untuk mengisi program sambutan ulang tahun ke-50 SPRM mulai Oktober depan.
“Orang ramai terutama peminat teater tempatan diminta tidak melepaskan peluang menonton pementasan yang juga projek teater sulung SPRM ini kerana selain percuma, ia dapat menggalakkan masyarakat mendekati SPRM melalui seni,” katanya.
Pementasan Bahara Emas akan mula dipentaskan di Auditorium DBP Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Oktober nanti. – MalaysiaGazette