Home Utama Bisnes KFC antara terjejas jika isu harga ayam gagal diselesaikan

Bisnes KFC antara terjejas jika isu harga ayam gagal diselesaikan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peniaga makanan berasaskan ayam terutama syarikat makanan segera seperti KFC akan terjejas teruk dalam masa terdekat ini jika kerajaan terus mengawal harga ayam.

Sumber berkata, perkara ini adalah kritikal malah industri ayam sudah pun memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam beberapa siri pertemuan dengan kementerian dan para pegawai kementerian tersebut.

Malah, para pegawai-pegawai mereka memahami dan mengakui tentang situasi getir yang dihadapi oleh para peserta industri ayam tempatan yang bergelut dengan kenaikan harga dedak yang melampau serta kos-kos lain termasuk pekerja sejak tahun lalu.

Sumber berkata, masalah itu akan timbul apabila para penternak terpaksa ‘tutup kedai’ kerana sudah tidak mampu menanggung modal yang terlampau tinggi tetapi tidak dapat menjual ternakan pada harga pasaran.

“Penternak-penternak tempatan sudah ramai yang rugi tetapi masalahnya KPDNHEP tetap mahu mengawal harga ayam. Sebagai penternak kita terpaksa akur kepada kerajaan kerana tiada pilihan.

”Jika ingkar kami boleh didakwa. Tetapi jika diteruskan kira-kira 3,000 penternak bukan sahaja makan hati tetapi rugi teruk.

“Selama ini penternak ayam sering bertolak ansur dengan kerajaan dalam rundingan harga tetapi kali ini memang tak boleh. Sama ada kerajaan perlu memberi kami ruang bernafas atau industri ayam tempatan lumpuh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jika industri ini lumpuh, kesannya lebih besar berbanding jika kerajaan tidak mengawal harga ayam.

Ini kerana, jika industri lumpuh, Malaysia akan mengalami kekurangan bekalan ayam dan telur ayam segar serta rantaian pekerja-pekerja di bawah industri ini.

“Sebagai contohnya, KFC akan terjejas teruk kerana KFC memerlukan lebih dua juta ayam segar sebulan. Bekalan untuk ayam KFC sahaja adalah 10 peratus daripada bekalan ayam mentah segar tempatan.

”Jika KFC tidak mendapat bekalan ayam segar secukupnya, macam mana kelangsungan atau nasib kira-kira 740 cawangan KFC dan para pekerjanya serta seluruh rantaiannya?

“Begitu juga dengan peniaga-peniaga ayam di pasar, penjaja makanan berasaskan ayam yang lain,” katanya.

Sumber yang kesal dengan situasi semasa berkata, keadaan ini berlaku kerana KPDNHEP tidak mahu memahami masalah inflasi yang melanda seluruh dunia – bukan sahaja terpaksa ditanggung oleh pengguna tetapi peserta-peserta industri pertanian dan penternakan.

Realitinya, nasib penternak ayam yang selama ini mengeluarkan modal besar juga semakin terhimpit.

Dalam masa yang sama, usahawan-usahawan ini dikenakan pula kenaikan tarif elektrik.

“Hasrat kerajaan untuk melindungi pengguna memang dipuji kerana itulah tanggungjawab kerajaan tetapi jangan lupa akan nasib penternak-penternak yang juga tidak terkecuali daripada mengalami kesan inflasi.

“Harga dedak naik bukan sedikit tetapi RM34 seguni – satu kenaikan besar. Kenapa ia naik? Ia naik kerana harga komoditi melonjak. Kalau dulu harga minyak sawit RM2,500 hingga RM2,700 bagi setiap tan, sekarang RM5,700.

“Kalau harga sawit naik takkanlah harga komoditi lain rendah pulak. Kalau dedak naik sampai melangit, logik tak KPDNHEP mahu harga ayam dari ladang dijual RM5.90 sekilogram sedangkan harga sebenar ladang sepatutnya RM6.50 sekilogram,?

“Kerugian yang ditanggung bukan 5 sen atau 10 sen tetapi 50 hingga 60 sen bagi sekilogram. Ayam matang bukan sekilogram tetapi antara 1.2 kilogram hingga 1.5 kilogram. Cuba kira kerugian kami.

”Kami tidak menerima subsidi, bantuan lain pun tidak. Jadi fikir-fikirkanlah.

“Sekiranya kesian pada pengguna, simpatilah juga kepada penternak,” soal sumber lagi.

Tanpa mahu bercakap lanjut, sumber industri ayam tempatan ini menambah, nasib keseluruhan industri ayam tempatan dan rantaiannya kini terletak di tangan kerajaan sekarang.

“Kami ikut sahaja, sebab sudah penat berunding, sudah lelah berdebat dan kami akui kami kalah. Tapi percayalah kenyataan  kerajaan untuk mengimport ayam dari luar sebenarnya tidak menyelesaikan isu ini sebaliknya memburukkan keadaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Banyak penternak ayam bakal gulung tikar

1 Komen

Comments are closed.