KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dengan lebih cenderung ke arah kenaikan pada minggu depan, menurut seorang peniaga.
Bagaimanapun, pasaran MSM akan menyaksikan aktiviti pengambilan untung akibat peningkatan harga baru-baru ini, Peniaga Minyak Kelapa Sawit, David Ng memberitahu Bernama.
Oleh itu, beliau mengunjurkan komoditi itu akan didagangkan antara RM5,500 dan RM5,750 setan pada minggu depan.
Sementara itu, peniaga minyak sawit yang berpengalaman, Jim Teh berkata, kontrak niaga hadapan MSM dijangka didagangkan dalam mod berhati-hati selepas para peniaga mula kembali dari cuti Tahun Baru Cina.
Katanya, harga MSM mungkin akan berlegar antara RM5,200 dan RM5,300 setan.
MSM diniagakan hanya selama tiga hari semasa minggu yang dipendekkan memandangkan Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup mulai 1 hingga 2 Februari sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Untuk minggu ini, niaga hadapan MSM kebanyakannya lebih rendah disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dan tekanan berikutan eksport yang lemah.
Dari Jumaat ke Jumaat, Februari 2022 jatuh RM24 kepada RM5,779 satu tan, Mac 2022 susut RM41 kepada RM5,749 satu tan dan April 2022 merosot RM11 kepada RM5,617 satu tan.
Mei 2022 serta Jun 2022, masing-masing menambah RM2 kepada RM5,443 satu tan dan RM5,268 satu tan, manakala, Julai 2022 menokok RM1 kepada RM5,107 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 109,885 lot daripada 324,049 lot yang direkodkan semasa minggu lepas, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 254,448 kontrak berbanding 281,952 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan naik RM50 kepada RM5,850 satu tan. – MalaysiaGazette