MELAKA – Selepas sering diasak soalan mengenai jodoh, hero mangsa banjir, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, akhirnya mengakui sudah mempunyai calon isteri.
Beliau bagaimanapun kelihatan terkejut apabila netizen mengajukan soalan mengenai pemilik nama wanita dikenali Emelda.
Perkara itu terdedah ketika sesi FB Live dan TikTok Live pemuda yang masih bujang itu selama satu jam bermula kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Ia bermula apabila seorang netizen bertanyakan Azwan bilakah dia bercadang menamatkan zaman bujangnya, iaitu soalan yang sering ditanya netizen dan wartawan sebelum ini.
Azwan yang kini mempunyai lebih 88,000 pengikut di FB dan 4,000 di TikTok akhirnya mengalah apabila menjawab soalan berkenaan.
“Alamak bila nak kawen ek, Insya-Allah calon dah ada tapi belum dibuat betul-betul, diconfirmkan lagi. Calon dah ada tengah dalam proses ujian lagi,” katanya sambil ketawa kecil.
Bagaimanapun selang enam minit kemudian, seorang lagi pengguna FB bertanyakan soalan lain, yang kali ini dilihat membuatkannya terkedu.
“Salam, tak ajak Emelda ke malam ni gi (pergi) makan?,” soal netizen di ruangan komen yang turut dibaca Azwan.
“Aik, jangan buat kantoi,” balasnya dalam nada terkejut sebelum terkedu sambil tersenyum sinis seolah-olah menggambarkan gadis terbabit adalah calon isteri dimaksudkan.
Kisah Azwan mula mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas dia menyelamatkan mangsa banjir Disember lalu dengan hanya berbekalkan RM50 dan sebuah bot persendirian yang di bawa di atas kereta Perodua Viva kakaknya.
Sebelum ini, ramai yang menyangka pemuda berasal dari Taman Seri Pengkalan, Alor Gajah ini sudah berkahwin apabila melihat gambarnya bersama dua kanak-kanak yang tersebar.
Bagaimanapun ketika itu dia tampil menjelaskan masih bujang dan gambar tersebut adalah anak saudaranya yang dijaganya selepas ibu mereka, yang juga kakaknya meninggal dunia. – MalaysiaGazette