JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wakil rakyat yang melompat parti sebagai pengkhianat dan rakyat perlu menolak mereka.
Katanya, pengundi perlu memilih calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang punyai prinsip.
“Masa berkempen orang (jentera pilihan raya) bekerja setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat. Jangan maafkan orang begini.
“Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip, ini maruah dan integriti serta nilai etika kita tidak boleh ketepikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, di sini, hari ini.
Katanya, PKR dilihat berada pada permulaan yang baik, namun jentera pilihan raya di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi yang ramai, seperti DUN Tiram, perlu melakukan gerak kerja lebih awal untuk mendekati pengundi.
Jelas beliau, mereka tidak perlu menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi, malah jentera pilihan raya perlu bekerja dari sekarang dengan menganggap esok pilihan raya.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat pada 9 Februari ini. – MalaysiaGazette