Home Nasional Ayam turun 20 sen: 9 pagi dah licin, peniaga terpaksa catu, pemborong...

Ayam turun 20 sen: 9 pagi dah licin, peniaga terpaksa catu, pemborong buntu

Gambar hiasan.

MELAKA – Pengurangan harga maksimum runcit ayam standard sebanyak 20 sen sekilogram bermula hari ini menyaksikan bekalan ayam di pasar di Melaka licin seawal jam 9 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam Melaka di Bachang di sini hari ini mendapati seramai 18 peruncit ayam terpaksa menghentikan jualan pada jam 9 pagi kecuali memprosesnya untuk dibekalkan kepada peniaga tetap kedai makan.

Walaupun ia mungkin menggembirakan pengguna kerana dapat membeli ayam pada harga lebih murah daripada RM9.10 kepada RM8.90, ia nyata kurang disenangi peruncit dan pemborong kerana stok bekalan yang diterima berkurangan sehingga hampir 40 peratus berbanding sebelum ini.

Pemborong, Ke Jok Kwee, 60, berkata, bekalan diterima daripada pembekal dari ladang ayam di Serkam berkurangan kira-kira 35 peratus hari ini menyebabkan dia terpaksa mencatu bekalan kepada 13 peruncit di pasar terbabit.

“Selalunya, kalau hujung minggu macam hari ini, pembekal hantar 3,000 ekor, tapi hari ini saya cuma dapat kira-kira 2,000 ekor sahaja, kurang 1,000 ekor dari kebiasaan.

“Inilah kali pertama berlaku kes seperti ini selepas lebih 20 tahun dan pembekal beri alasan bekalan ayam kurang kerana kos semakin meningkat tetapi kerajaan terus menurunkan harga daripada RM9.50 kepada RM9.30 lepas tu RM9.10 dan turun lagi RM8.90 sekilogram hari ini.

“Kerajaan kata nak bagi subsidi, tapi pembekal kata sehingga kini mereka belum dipanggil untuk berbincang mengenai subsidi sebab itu mereka terpaksa hadkan pengeluaran kerana tak mampu lagi tanggung kos yang tinggi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90 sekilogram.

Harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pelaksanaan kedua-dua harga itu dilaksakan selama 121 hari bermula hari ini sehingga 5 Jun 2022.

Peniaga, Hamzah Othman, 57 yang sudah berniaga sejak lebih 30 tahun berkata, dia terpaksa mencatu jualan kepada pelanggan kerana bekalan diterima hari ini hanya 100 ekor berbanding kebiasaan 300 ekor.

“Biasanya sebelum ini kalau saya minta 300 ekor lebih pun boleh dapat, tapi hari ini 100 ekor tu pun saya tak letak semua atas meja jualan sebab takut diserbu pelanggan.

“Peniaga kedai makan pun saya terpaksa catu kalau selalu beli 10 ekor, hari ini saya terpaksa bagi lima ekor sahaja. Pelanggan memanglah gembira, tapi sebagai peniaga saya pening kepala terpaksa catu bekalan,” katanya.

Isu sama dihadapi pekerja, Mohd Nor Irwan Mohd Ali, 43, apabila bekalan ayam licin seawal 9 pagi apabila stok diterima majikannya kurang sehingga 40 peratus.

“Bila bekalan ayam kurang, kita nak jual secara runcit kepada pelanggan pun tak cukup sebab kena agihkan kepada peniaga-peniaga tetap kedai makan.

“Saya harap kerajaan tolonglah pastikan tidak berlaku kekurangan bekalan ayam seperti ini sebelum turunkan harga yang melegakan pengguna tapi pada masa sama juga membela nasib peniaga,” katanya. – MalaysiaGazette