Home Nasional Selangor perkenal harga siling ayam RM8 sekilogram

Selangor perkenal harga siling ayam RM8 sekilogram

Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor hari ini memperkenalkan harga siling runcit itu pada harga RM8 sekilogram berikutan kenaikan harga ayam segar dan bekalan telur ayam yang terjejas di pasaran sejak beberapa hari lalu

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, harga siling itu terpakai di semua premis jualan di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) termasuk di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

“Penjual-penjual ayam kita tawarkan untuk menjual pada harga RM8 dan kos itu akan ditanggung semula oleh PKPS melalui dana RM1 juta dalam Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.

“Kaedahnya dengan mengurangkan sewa tapak. Secara tidak langsung kita dapat berniaga, keuntungannya masih dikekalkan.

“Pengguna pula dapat harga lebih munasabah berbanding harga ayam melonjak naik dan membebankan,” katanya pada sidang media di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menunjukkan ayam segar yang dijual pada Jualan Ayam Murah di Wisma PKPS, Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, untuk permulaan pihaknya mensasarkan jualan sehingga 50,000 ekor ayam dengan menghadkan penjualan kepada dua ekor ayam untuk seorang individu.

“Ketika ini kita mempunyai ladang ayam yang mampu untuk menghasilkan 540,000 ekor ayam bagi setiap satu pusingan atau untuk tempoh tiga bulan.

“Kita tengok sambutannya, kalau memerlukan tempat lebih besar, Insya-Allah kita akan cari dan laksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, pengenalan harga siling itu adalah inisiatif terbaru Kerajaan Negeri Selangor dalam mendepani peningkatan harga barang di pasaran.

“PKPS menawarkan harga ayam RM8 sekilogram dan ia jauh lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu RM8.90,” katanya lagi. – MalaysiaGazette