KUANTAN – Hampir 100 pengusaha bot laut dalam di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor hari ini melakukan demonstrasi secara aman di Kuantan bagi memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga tahun 2023.
Pengerusi Persatuan Nelayan Laut Dalam Pahang, Md Yusry Md Yusof berkata, ia bagi meringankan beban nelayan tempatan yang terkesan setelah tidak beroperasi selama hampir dua tahun berikutan penularan Covid-19.
Tambah, kos yang tinggi untuk awak-awak warga asing menyebabkan mereka tidak mampu bertahan sedangkan khidmat golongan tersebut diperlukan dalam industri perikanan.
“Kos membawa masuk awak-awak warga asing dari Thailand berharga lebih RM3,400 seorang termasuk bayaran Pas Lawatan Kerja Sosial (PLKS) yang membebankan.
“Setiap bot memerlukan 20 hingga 25 awak-awak untuk beroperasi dan kos yang perlu dikeluarkan antara RM68,000 hingga RM85,000 dan kos tersebut tidak termasuk tambang dan perbelanjaan lain,” katanya.
Selain itu, Md Yusry berkata, pihaknya perlu mengeluarkan modal antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk membaiki bot dan peralatan yang rosakkerana lama tidak beroperasi sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
lMenurutnya, selain bayaran PLKS, pemilik bot juga terpaksa membayar sewa hotel RM200 sehari selama tujuh hari untuk proses kuarantin bagi pekerja yang dibawa masuk.
Beliau menjelaskan, terdapat dalam kalangan pengusaha bot nelayan kehilangan hasil sehingga RM3 juta berikutan hasil tangkapan bernilai RM150,000 sebulan sebelum ini.
“Kini rata-rata pemilik bot kini tersepit tanpa modal mencukupi untuk memulakan operasi selepas hampir dua tahun tidak turun ke laut,” ujarnya. – MalaysiaGazette