Home Nasional Salah ahli politik jika Undi 18 salah memilih

Salah ahli politik jika Undi 18 salah memilih

Pemimpin muda yang akan mengundi pada pilihan raya akan datang.

HAK telah diberikan kepada golongan belia berusia 18 tahun dan ke atas untuk mengundi bermula Pilihan Raya Negeri Johor. Isu sama ada mereka layak atau tidak, tidak lagi menjadi persoalan selepas Parlembagaan membenarkan mereka berbuat demikian.

Pun begitu, ibarat rumah siap pahat masih berbunyi, kematangan kumpulan ini untuk memilih kerajaan dipersoalkan.

Ramai yang khuatir memberi kuasa kepada golongan ini ibarat satu perjudian, jika salah memilih, kestabilan negara menjadi pertaruhan.

Bagi kumpulan ini, adalah tidak adil untuk mendakwa mereka tidak matang hanya kerana tidak memihak kepada parti tertentu. Menurut mereka, ahli politik perlu dipersalahkan jika mereka tersalah pilih.

Janji dalam manifesto  

Setiap lapisan masyarakat  akan memilih parti dan pemimpin yang bertanding dalam pilihan raya berdasarkan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat. Begitu juga dengan golongan muda.

Muhammad Syahmi Shamsuddin ketika ditemubal bersama Malaysia Gazette mengenai pelaksanaan undi 18 tahun di UKM, Bangi, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26JANUARI 2022.

Bagi mahasiswa Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Syami Shamusdin, 23, manifesto perkara penting yang akan dilihat oleh pengundi 18.

“Sememangnya ya mereka melihat manifesto. Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka, kerana salah itu terletak pada ahli politik.

“Kita memilih parti yang ingin perjuangkan untuk anak muda, yang memperjuangkan dari sudut pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

“Jadi, untuk kita katakan bahawa anak muda itu sebagai penyebab (kejatuhan kerajaan) adalah tidak betul. Tidak adil sepenuhnya dan untuk kita katakan undi 18 itu satu benda yang tidak patut dilakukan ketika ini, juga adalah tidak boleh,” kata Muhammad Syami.

Tambahnya, kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 bukanlah disebabkan manifesto semata-mata.  Kemerosotan sokongan terhadap BN telah bermula sejak tahun 2008 lagi.

“Di mana pada 2008 kerusi-kerusi (yang dipertandingkan) telah mula bertukar tangan ke kawasan pembangkang.

“Jadi diteruskan pada 2013 dan kemudian 2018. Itu adalah kita kata tsunami bagi rakyat Malaysia. Jadi untuk kita meletakkan beban katakan anak muda yang bertanggungjawab, adalah tidak adil. Sebab anak muda ketika itu sangat euphoria untuk mengundi,” katanya.

Tegas beliau, persoalan sama ada pengundi 18 itu matang atau tidak, boleh diperdebatkan namun hampir 94.5 peratus negara di dunia telah membenarkan golongan itu untuk mengundi bagi menentukan parti yang berhak untuk menjadi kerajaan.

Bagi golongan ini, katanya, ada beberapa isu yang boleh diperjuangkan oleh parti politik bagi mendapatkan sokongan  Undi 18.

“Kalau ditanya pada anak muda yang sedang makan di medan selera, jawapan mereka ‘apa yang saya boleh dapat setelah saya habis belajar, bolehkan saya bekerja terus, bolehkah saya bekerja dengan gaji yang wajar, gaji yang kita kata, gaji yang wajar kalau saya duduk di Bangi, boleh ke saya bayar kenderaan, bayar utiliti, bayar sewa rumah dan segalanya’.

“Ini saya rasa akan menarik anak muda. Mereka tak mahu dengar isu perkauman, isu agama.

“Bagi saya mereka sudah letih, dan mereka rasa tidak ada harapan, Jadi kalau mana-mana parti politik yang berjaya membawa diskusi berbentuk dasar yang membawa isu itulah yang akan menarik anak muda,” tegas Muhammad Syami.

Beban menilai maklumat palsu

Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa UKM, Sharifah Umairah Syed Mustafa turut berpandangan bahawa pengundi muda dan Undi 18 tidak harus dipersalahkan jika tersilap memilih parti.

Sharifah Umairah Syed Mustaffa ketika ditemubal bersama Malaysia Gazette mengenai pelaksanaan undi 18 tahun di UKM, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26JANUARI 2022.

Sebaliknya, beban harus diletakkan kepada ahli politik yang hanya pandai berjanji tetapi tidak mampu untuk menunaikan manifesto yang ditabur.

“Bagi pandangan saya untuk isu berkaitan jenis-jenis manifesto itu saya rasa silapnya bukan pada pengundi, tapi silapnya kepada ahli politik yang berjanji tetapi tak laksanakan, sebab kita sebagai pengundi kita mengundi atas dasar manifesto.

“Jadi, kalau betulah pengundi belia ini mengundi disebabkan manifesto yang bagi mereka selama ini tidak didengari,  maknanya pengundi kita ini cerdik. Sebab mereka melihat kepada manifesto bukan taksub kepada satu-satu parti.

“Tapi salahnya adalah kepada parti itu kerana bila pengundi telah letakkan amanah dan berikan tanggungjawab tetapi tidak dilaksanakan. Kesalahan tidak seharusnya kita letak kepada pengundi,” tegas pendebat UKM itu.

Orang ramai hadir beratur pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2021.

Sharifah Umairah berkata, adalah tidak tepat untuk mendakwa hanya golongan Undi 18 mudah dipengaruhi oleh sesuatu isu dalam membuat pertimbangan untuk memilih kerajaan pada pilihanraya.

Dalam era media sosial menurutnya, menguasai ruang maklumat, untuk membezakan benar atau salah mengenai sesuatu berita amat sukar.

Malah golongan dewasa berusia lebih 30 tahun yang dikatakan matang juga seringkali berselisih mengenai beberapa isu termasuk isu vaksin.

“Berkaitan membezakan berita yang betul dan berita yang salah, saya kira bebannya bukan terletak pada Undi 18 tahun, disebabkan kalau kita tengok berita palsu yang disebarkan berkaitan vaksin, yang banyak anti-vaksin bukan belia, yang banyak anti vaksin siapa?

“Jadi ertinya untuk membezakan berita palsu dan tidak palsu bagi saya bergantung kepada bagaimana kesedaran masyarakat secara keseluruhan ini tentang kecelikan kita dalam menggunakan media sosial,” tegas beliau.

Tambah Sharifah Umairah, adalah penting kepada ahli-ahli politik untuk membina hubungan dengan pengundi di media sosial supaya masyarakat tidak terpesong dengan maklumat tidak benar yang disebarkan oleh pihak yang berkepentingan.

Beri pendedahan awal kepada Undi 18

Dalam memperkasakan pengundi berusia 18 tahun dan golongan muda agar tidak tersilap memilih kerajaan, mereka harus didedahkan dari awal mengenai sistem politik negara.

Naim Fikri Abdul Rahim ketika ditemubal bersama Malaysia Gazette mengenai pelaksanaan undi 18 tahun di UKM, Bangi, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26JANUARI 2022.

Presiden Persatuan Mahasiswa Sejarah dan Strategi UKM Naim Fikri Abdul Rahim berkata, pelajar harus didedahkan kepentingan memilih ahli politik yang betul demi masa depan rakyat dan negara.

“Kita boleh tengok Undi 18 ini, kebanyakan golongan anak muda ini kurang mendapat pendedahan politik dari bangku sekolah. Jika mereka tidak diberikan pendedahan sedemikian mungkin mereka akan tersilap langkah ataupun tersalah pilih kerajaan.

“Mereka perlu tahu kepentingan politik ini kepada mereka. Melalui kajian yang saya baca, seperti kajian ilmiah daripada penyelidik universiti tempatan, mengatakan bahawa mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun masih lagi tidak memahami asas-asas pilihan raya.

“Jika umur 21 hingga 30 tahun ini tidak dapat memahami asas-asas pilihan raya, apa lagi umur 18 tahun,” kata Naim Fikri.

Justeru, katanya, pihak tertentu seperti Kementerian Pelajaran perlu memberikan pendedahan awal kepada pelajar antaranya untuk memahami struktur politik negara dan bagaimana pilihan raya berlangsung.

Pendedahan awal adalah penting agar golongan muda ini tidak tersilap memilih sekaligus memperjudikan masa depan rakyat dan negara.- MalaysiaGazette

Artikel ini adalah bahagian ketiga daripada empat siri rencana berkaitan Undi 18.